Pengerusinya, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata Rafizi diberi tempoh sehingga 31 Mac ini dan jika tidak berbuat demikian LTAT akan meneruskan saman terhadapnya.
“Kami mahu Rafizi buktikan tuduhannya sejak dua minggu lepas dengan menyenaraikan butiran-butiran kakitangan askar pencen yang belum terima ganjaran mereka.
“Kenyataan Rafizi itu dianggap sebagai menghasut dan telah memberi impak yang buruk dan merosakkan nama baik dan kepercayaan terhadap LTAT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, pembayaran gratuiti dibuat dalam tempoh 24 jam setelah proses permohonan anggota yang layak, diluluskan.
“Pembayaran itu dibuat oleh Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) dan semua pembayaran telah dipenuhi.
“Kami ingin tegaskan bahawa semua bayaran kepada kakitangan tentera yang bersara dalam tempoh 24 jam oleh LTAT setelah menerima dokumen-dokumen yang telah diluluskan,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi mendakwa kira-kira 1,200 anggota tentera yang tamat perkhidmatan masih belum menerima bayaran gratuti itu walapun selepas enam bulan bersara.
Rafizi dilaporkan berkata, keupayaan LTAT membayar gratuiti terjejas kerana kelewatan pembayaran oleh 1MDB kepada sebuah anak syarikat LTAT, Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) untuk projek pemindahan Pangkalan Udara di Sungai Besi berjumlah RM396.41 juta setakat September tahun lalu.
