Selangor lulus pinda enakmen cegah beli bintang, darjah kebesaran

Selangor lulus pinda enakmen cegah beli bintang, darjah kebesaran

Kerajaan negeri mengesyorkan hukuman antara RM100,000 hingga RM200,000 atau penjara tiga tahun kepada individu yang mendapat bintang dan darjah kebesaran secara tidak sah.

azmin

SHAH ALAM :
Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul untuk meminda Enakmen Lambang-lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 bagi menangani pemakaian darjah kebesaran tanpa pengiktirafan.

Usul tersebut diluluskan oleh Speaker DNS, Hannah Yeoh bagi mencegah daripada penyalahgunaan apa-apa lambang atau nama yang ditetapkan mengikut enakmen tersebut.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengemukakan usul tersebut dan diluluskan untuk dibahas.

Azmin berkata, apa-apa pelanggaran dalam peruntukan itu merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000.

“Mutakhir ini kita sering mendengar mengenai kes penyalahgunaan gelaran darjah kebesaran, bintang kebesaran atau pingat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di beberapa buah negeri di negara ini.

“Menyedari gejala pemberian dan pemakaian anugerah darjah dan kebesaran yang tidak diiktiraf dan demi memelihara kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku satu-satunya sumber penghormatan gelaran dalam negeri Selangor dan baginda sahajalah yang boleh menganugerahkan gelaran dan mewujudkan darjah dan pingat penghormatan selaras dengan perkara 38 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor,” katanya.

Usul itu dikemukakan buat kali kedua ekoran jumlah denda sedia ada didapati terlalu rendah.

Pindaan tersebut akan meliputi perkara berkaitan pencegahan penganugerahan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf di samping penetapan kadar hukuman yang lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan di bawah enakmen tersebut.

“Cadangan pindaan enakmen ini bertujuan untuk membendung dan mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang tidak bertanggungjawab yang mengadakan pemakaian darjah kebesaran dan pingat yang tidak diiktiraf khususnya yang berlaku di negeri Selangor.

“Berasaskan kepada maklumat yang boleh dipercayai kebanyakan bintang dan darjah yang diperolehi secara tidak sah adalah mempunyai nilai yang amat tinggi sehingga boleh mencecah ke ratusan ribu ringgit.

“Oleh yang demikian untuk memastikan bahawa mereka yang mendapatkan bintang dan darjah kebesaran dengan cara yang tidak sah seperti membeli bintang dan darjah kebesaran maka adalah wajar apabila melakukan kesalahan, maka enakmen ini hendaklah dikenakan hukuman yang setimpal,” kata Azmin.

Dalam pindaan itu, kerajaan negeri mengesyorkan hukuman antara RM100,000 hingga RM200,000 bagi kesalahan berkenaan atau penjara tiga tahun membayar denda.

Ia sekaligus dilihat mampu untuk mencegah kegiatan salah guna darjah kebesaran berkenaan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam istiadat pembukaan persidangan DNS, Isnin lalu, bertitah agar Kerajaan Selangor membuat pindaan kepada Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962.

Ini ekoran terdapatnya kegiatan membeli dan menjualnya oleh pihak tidak bertanggungjawab, baik daripada Istana mahupun kerajaan negeri Selangor yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.