Kugan, dari budak penghantar surat kepada juruterbang

Kugan, dari budak penghantar surat kepada juruterbang

Meskipun ditawarkan untuk jawatan 'despatch' tetapi Kugan menerimanya dengan hati terbuka atas satu sebab, dia melihatnya sebagai batu loncatan untuk impiannya.

pilot

PETALING JAYA:
Sewaktu kecil, kita bermimpi untuk melakukan sesuatu yang hebat dalam kehidupan.

Walau bagaimanapun, tidak ramai yang mampu mencapainya, sama ada kerana impian itu terabai sewaktu membesar, terpengaruh dan terpaksa terlibat dalam bidang berbeza ekoran tawaran kursus pengajian yang berbeza atau pengaruh keluarga, rakan mahupun kerana kepentingan semasa.

Namun, bagi Kugan Thangiisuran, dia berbeza.

Jejaka berusia 31 tahun kini membawa bersama-samanya impian zaman kanak-kanak untuk terbang ke seluruh dunia sebagai juruterbang selepas lebih enam tahun berkhidmat sebagai budak penghantar surat dengan syarikat penerbangan AirAsia.

Kugan, berasal dari Prai, berkata cita-citanya menjadi juruterbang bermula sejak berusia sembilan tahun tetapi dia sedar keluarganya tidak mampu menanggung dia mengikuti pengajian itu.

“Akhirnya, saya memilih melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan hospitaliti dan bekerja di beberapa hotel di Pulau Pinang,” katanya.

“Sehingga, suatu hari, seorang rakan yang bekerja dengan syarikat AirAsia mengajak saya untuk menyertai syarikat itu. Katanya, syarikat penerbangan itu memberikan peluang kepada kakitangan dalaman untuk beralih antara jabatan. ”

Meskipun ditawarkan untuk jawatan ‘despatch’, Kugan menerimanya dengan hati terbuka atas satu sebab, dia melihatnya sebagai batu loncatan untuk impiannya.

Kugan menyertai AirAsia pada tahun 2006 dan pada tahun yang sama dia menduduki peperiksaan pertama untuk menjadi juruterbang.

Dia lulus peperiksaan, tetapi harapannya tidak kesampaian ekoran polisi syarikat yang hanya membenarkan kakitangan tetap dan telah berkhidmat dengan syarikat selama sekurang-kurangnya dua tahun untuk beralih dari satu jabatan ke jabatan lain.

Bagi tempoh tujuh tahun selepas itu, Kugan tidak mengalah, dia terus mencuba dan menduduki peperiksaan sama sebanyak tiga kali lagi.

Menariknya, ketabahan dan kecekalan Kugan turut menarik perhatian bosnya, Tan Sri Tony Fernandes yang secara peribadi memberi motivasi kepadanya agar dia terus mencuba. Bagi Kugan, Tony adalah motivasi terbesarnya selain keluarganya.

Pada tahun 2013, Kugan sekali lagi lulus peperiksaan dan pada Ogos tahun lepas (2015), selepas tamat latihan, dia mengambil alih kawalan penerbangan pesawat penumpang buat kali pertama, penerbangan ke Miri.

“Saya agak gementar, tetapi tidak takut, kerana saya yakin dengan apa yang telah dipelajari.”

Rakaman video Tony memuji kegigihan Kugan semasa majlis tamat pengajian juruterbang baru-baru ini tersebar menjadi viral di laman sosial. Dalam rakaman itu, Tony berkata, “jadilah seperti Kugan.”

“Jika anda mahu mencapai sesuatu, teruskan usaha ke arah itu. Jika anda gagal sekalipun, ia tidak bermakna sudah berakhir. Pada suatu hari, anda akan berjaya,” pesanannya kepada pemuda-pemudi sepertinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.