SPR pertimbang laksana sistem pengundian wajib seawal 2018

SPR pertimbang laksana sistem pengundian wajib seawal 2018

Hanya 113 juta atau 85 peratus rakyat mengundi pada PRU13

spr
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan pelaksanaan sistem pengundian wajib, seawal-awalnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, ia adalah satu daripada pembaharuan yang dicadangkan suruhanjaya terbabit.

Menurut laporan The Sun Daily pada Isnin lalu, satu lagi cadangan pembaharuan ialah menubuhkan Sekretariat Khas yang dianggotai bekas pegawai SPR bersara untuk membantu mendidik pengundi.

Hashim yang dilantik ke jawatan itu pada Januari lalu berkata, daripada 13.3 juta rakyat yang berdaftar sebagai pengundi sebelum PRU13 lalu, hanya 11.3 juta atau 85 peratus rakyat menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi pada 2013.

Jika cadangan pembaharuan SPR itu diluluskan Parlimen, maka Malaysia akan menyertai sekurang-kurangnya 26 negara lain yang turut mempunyai sistem pengundian wajib.

Namun, daripada jumlah itu, hanya 11 negara dan sebuah negeri di Switzerland yang benar-benar melaksanakan sistem terbabit, termasuk Australia, Brazil, Argentina, Luxembourg dan Singapura.

Di Australia, pengundi yang dikesan gagal menjalankan tanggungjawab mereka perlu memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Australia atau mereka akan didenda AUD$20 (kira-kira RM60).

Mereka yang gagal membayar denda itu akan dihadapkan ke mahkamah dan berdepan denda lebih tinggi, iaitu AUD$170.

Di Brazil pula, rakyat berusia 18 hingga 70 tahun yang tidak mengundi akan berdepan kemungkinan hilang taraf kewarganegaraan mereka, jika gagal membayar denda dalam tempoh 60 hari.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.