
Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kriteria calon perdana menteri yang mampu menyatukan kaum itu hanya boleh direalisasikan jika semua pihak sedia meletakkan perpaduan sebagai asas utama.
“Calon perdana menteri dengan kriteria tersebut hanya ada apabila semua pihak bersedia meletakkan penyatuan melayu sebagai asas utama, membelakangkan agenda peribadi dan keutamaan kelompoknya sahaja.
“Ia sesuatu yang mudah disebut namun agak sukar dilaksanakan. Selagi tidak terhantuk, tidak tengadah,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, keupayaan menyatukan orang Melayu faktor paling penting dalam menentukan individu layak menjadi perdana menteri.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS melihat perlunya gagasan penyatuan ummah direalisasikan berpaksikan panduan Allah yang bersifat universal, integriti, amanah dan berwibawa.
Katanya, keutamaan buat masa ini adalah memenangi jumlah kerusi maksimum pada PRU akan datang melalui perpaduan yang jitu.
“Perkukuhkan perpaduan dan kesatuan. Selagi parti komponan berpecah kita sebenarnya menuju kelemahan. Jangan bicara siapa PM kalau kita berantakan,” katanya.
Pada 27 Mac lalu, Mahathir dilaporkan berkata jawatan presiden parti politik atau status calon perdana menteri tidak menjamin seseorang itu dilantik menerajui negara, sebaliknya bergantung kepada kesatuan orang Melayu dalam menentukan wakil paling layak.
Beliau turut menekankan slogan ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ dalam landskap politik semasa, dengan memberi amaran terlalu ramai calon hanya meningkatkan risiko semua calon kalah, sekali gus melemahkan kedudukan politik orang Melayu dalam pilihan raya.
Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, Mahathir difahamkan merujuk Bersatu dan Presidennya Muhyiddin Yassin.
Kebelakangan ini, Bersatu dilanda perpecahan dalaman yang menyaksikan 17 pemimpinnya termasuk Hamzah Zainudin dipecat pada kemuncak perebutan kepimpinan dengan Muhyiddin bulan lalu.