`Taiko’ judi mengamuk, mesin kuda dirampas penguatkuasa

`Taiko’ judi mengamuk, mesin kuda dirampas penguatkuasa

Dua anggota cedera di bahagian badan dan dahi ketika bergelut dalam kejadian itu.

kuda-mesin

PETALING JAYA:
Tiga lelaki dipercayai `taiko’ judi mengamuk apabila mesin kuda yang disembunyikan dirampas sepasukan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Mesin kuda itu dirampas oleh penguatkuasa berkenaan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Hilir Melaka baru-baru ini.

Aksi mengamuk itu kini sedang giat diviralkan setelah ada saksi yang melihat kejadian tersebut memuat naik rakaman berkenaan ke laman sosial.

Dalam kejadian itu, dua anggota berusia lingkungan 30an cedera di bahagian badan dan dahi ketika bergelut dengan ketiga-tiga lelaki terbabit di hadapan sebuah premis yang dijadikan tempat penyimpanan peralatan perjudian.

Ketiga-tiga mereka turut bertindak biadap dengan memaki hamun anggota penguatkuasa, selain menghalang jalan keluar dari kawasan itu dengan tujuan mengelak mesin kuda mereka dirampas.

Sementara itu, memetik laporan BH Online, Pengarah Perundangan dan Penguatkusaan MBMB, Hazudin Hashim, berkata ketika kejadian, anggotanya selesai memunggah 70 set komputer riba yang dirampas ke dalam lori pihak majlis.

“Ketika hendak beredar, tercetus sedikit pergaduhan apabila tiga lelaki menggunakan sebuah kereta cuba menghalang lori MBMB. Insiden kira-kira 45 minit itu turut menyebabkan anggota penguat kuasa cedera ditumbuk di bahu dan dahi,” katanya.

Operasi terbabit bermula jam 2.30 petang yang membabitkan 30 anggota serta kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertumpu di empat lokasi sekitar Taman Melaka Raya.

Sebanyak 113 unit komputer riba, dua pedang dan parang serta cota dirampas menerusi operasi tersebut.

https://www.youtube.com/watch?v=06N7owF657s

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.