Data dalam MyKad JPN utuh, sukar digodam

Data dalam MyKad JPN utuh, sukar digodam

Cip pada MyKad palsu yang dikeluarkan oleh sindiket tidak mengandungi sebarang data sebagaimana MyKad yang dihasilkan JPN.

jazlan,jpn

PETALING JAYA:
Usah bimbang tentang maklumat yang terkandung di dalam sistem teknologi maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana ia utuh daripada digodam pihak asing, itu jaminan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Katanya, cip pada MyKad palsu yang dikeluarkan oleh sindiket tidak mengandungi sebarang data sebagaimana MyKad yang dihasilkan JPN.

“MyKad palsu dibuat oleh sindiket bukannya dibuat oleh anggota JPN dan tidak melibatkan penyelewengan oleh pegawai JPN,” katanya mengulas laporan media berhubung warga asing yang dikesan memiliki MyKad palsu, lapor Bernama.

Nur Jazlan juga mengakui pemeriksaan JPN terhadap dokumen pengenalan dari semasa ke semasa akan mampu mengesan MyKad palsu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kejadian 22 warganegara Filipina yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Manjung setelah mengaku salah atas tuduhan menggunakan MyKad palsu dan kepunyaan orang lain.

Minggu lepas tiga pengawal keselamatan warga asing di sebuah taman perumahan di Temasya Glenmarie, Shah Alam, Selangor ditahan kerana disyaki menggunakan MyKad palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.