“Daripada jawapan saya, anda tahu saya tidak akan membatalkan larangan itu.
“Tetapi, mereka boleh datang ke Sarawak pada bila-bila masa sahaja, selepas pilihan raya,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu kepada wartawan pada sidang media di Wisma Bapa Sarawak, hari ini.
Adenan berkata demikian sebagai menjawab kritikan pembangkang bahawa lebih 20 pemimpin DAP dan beberapa pemimpin PKR serta Parti Amanah Negara dilarang memasuki Sarawak, menjelang PRN akan datang.
Selain ahli politik, beberapa aktivis termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan turut berada dalam senarai itu.
Sehubungan itu, Ambiga mendakwa Adenan menyalahgunakan Akta Imigresen yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengawal kemasukan mana-mana individu ke Bumi Kenyalang.
Adenan menegaskan, beliau sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sarawak untuk “melindungi negeri itu daripada elemen-elemen tidak baik.”
Adenan turut memaklumkan, larangan itu tidak hanya terhad kepada pemimpin pembangkang, tetapi pemimpin BN dan Umno yang dianggap pelampau.
“Kami pernah menyekat kemasukan orang seperti Ibrahim Ali dan Ridhuan Tee,” katanya yang merujuk kepada Presiden PERKASA dan pendakwah kontroversi.
