
Dalam surat bertarikh 23 Jan lalu, jabatan itu berkata, semakan Bahagian Keselamatan dan Pasport di Putrajaya mendapati cawangan Sarawak tersilap memasukkan kod sekatan notis amaran persekutuan yang menyebabkan pembaharuan pasport disekat.
Kod itu sepatutnya untuk notis amaran Sarawak, yang akan menghalang penulis teknikal, Hafiz Hamid memasuki Sarawak, tetapi membenarkannya memperbaharui pasport dan ke luar negara.
Masalah Hafiz bermula Mei 2018, apabila beliau dilarang memasuki Sarawak ketika ketika hendak ke Sibu untuk meraikan Gawai bersama rakan. Pegawai Imigresen menunjukkan notis menyatakan beliau dalam “senarai suspek”.
Pada 2020, beliau tidak dapat memperbaharui pasportnya selepas tamat tempoh dan dimaklumkan sebabnya akibat “sekatan oleh imigresen Sarawak”.
Surat jabatan itu pada bulan ini susulan surat tuntutan dikeluarkan peguamnya, Shamsher Singh Thind.
Jabatan itu berkata, sekatan persekutuan telah ditarik balik dan Hafiz kini boleh memperbaharui pasportnya di mana-mana pejabat imigresen, tetapi sekatan ke Sarawak masih aktif.
Menurut Perlembagaan, Sarawak mempunyai kawalan ke atas hal ehwal imigresennya sendiri.
Hafiz berkata, beliau lega akhirnya dapat memperbaharui pasport selepas bertahun-tahun.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada FMT kerana mengetengahkan masalahnya dan berkata: “Akhirnya, saya gembira mendapat pasport saya selepas perjuangan selama tujuh tahun.”