
Beliau berkata menerusi formula yang dicadangkan itu pemberian khas akan berpandukan jumlah pendapatan negeri, khususnya berasaskan kutipan cukai, selain bersifat fleksibel mengikut prestasi hasil semasa.
“Kita cadangkan sebagai contoh, beri balik kepada Sarawak dalam 20% daripada pendapatannya. Kalau pendapatan banyak, berilah banyak, kalau kurang, beri sedikit. Jumlahnya fleksibel, supaya kerajaan persekutuan boleh pertimbangkan.
“Sekarang ini (jumlah peruntukan), tidak mencukupi. Tetapi, memandangkan Sarawak ada rezeki sikit, kita tidak bergantung 100% pada orang lain (Persekutuan),” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata dalam satu program di Kuching.
Abang Johari berkata pendekatan berasaskan peratusan hasil lebih adil memandangkan kerajaan negeri kini menanggung sebahagian besar kos pembangunan menggunakan sumber kewangan negeri.
Rabu lalu, Kementerian Kewangan berkata Putrajaya akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Sarawak tahun ini untuk menyemak pemberian khas itu dan merangka formula baharu.
Kementerian itu berkata rundingan tersebut akan mengambil kira keperluan negeri, serta kedudukan kewangan kerajaan persekutuan, selaras dengan peruntukan Perlembagaan bahawa pemberian khas bagi Sarawak dan Sabah disemak setiap lima tahun.