Tiket penerbangan tidak patut naik – Liow

Tiket penerbangan tidak patut naik – Liow

Liow Tiong Lai berkata, kenaikan caj itu hanya membabitkan kos pentadbiran dan pelaksanaan DCA, bukannya harga tiket kapal terbang

Liow-Tiong-Lai_ticket_air_600

PUTRAJAYA:
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berpendapat, harga tiket kapal terbang tidak seharusnya dinaikkan, apabila kadar baru caj perkhidmatan penerbangan dilaksanakan Jumaat ini.

Ini kerana, katanya, kenaikan caj itu hanya membabitkan kos pentadbiran dan pelaksanaan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), bukannya harga tiket kapal terbang.

Jelasnya, kadar baru caj itu yang tidak pernah disemak lebih 40 tahun, juga tidak membebankan syarikat penerbangan.

“Saya tidak fikir ia akan menaikkan harga tiket penerbangan, kerana kadarnya bukan satu peningkatan yang terlalu tinggi,” katanya ketika ditanya kesan pelaksanaan caj baru itu terhadap harga tiket kapal terbang, selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 kementeriannya, hari ini.

Kenaikan yuran dan caj perkhidmatan penerbangan itu meliputi penggunaan ruang udara, kemudahan trafik udara serta lesen penerbangan juruterbang.

Berdasarkan caj baru itu, kadar pengendalian penerbangan udara (ANFC) akan naik daripada lima sen setiap batu nautika kepada 50 sen untuk pesawat ringan tidak lebih 2,500 kilogram.

Untuk pesawat lebih besar, seperti Airbus A320/A330 dan Boeing B737/B777, kos itu akan dinaikkan kepada RM1 hingga RM2.50 setiap batu nautika, berbanding 10 hingga 25 sen sekarang.

Manakala bagi pesawat melebihi 135,000 kilogram, kadar itu akan naik daripada 30 sen kepada RM3 setiap batu nautika.

Liow berkata, pelaksanaan kadar baru itu bertujuan meningkatkan sistem pengangkutan udara kepada tahap terbaik untuk negara, selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

“Sesetengah orang mengatakan harga naik sehingga 1,000 peratus. Kalau dahulunya lima sen, sekarang dijangka naik 50 sen.

“Tetapi, kalau dilihat pada kadar nilai, kita akan memberikan perkhidmatan dan servis yang lebih baik, dengan aset dan peralatan kawalan udara lebih canggih,” katanya.

Liow berkata, satu pertemuan dengan penggerak industri penerbangan turut diadakan hari ini, untuk mendengar pandangan dan keluhan mereka, sebelum pengumuman rasmi dibuat esok.

Ditanya sama ada terdapat ‘caj tersembunyi’, Liow berkata: “Kita amat telus, kerana DCA telah mengeluarkan satu senarai perkhidmatan yang dikenakan bayaran dan sebaliknya.”

Beliau turut menjelaskan, kadar baru itu perlu dilaksanakan, bagi mematuhi standard Pertubuhan Awam Antarabangsa (ICAO), sekiranya mahu DCA dinaik taraf kepada badan berkanun.

Katanya, ia merupakan proses yang perlu dilalui DCA, bagi memastikan aset dan perkhidmatannya memenuhi piawaian ICAO, sebelum diberi pengiktirafan sebagai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA).

“Selaras permintaan ICAO, beberapa caj dan yuran baru perlu dikenakan, bagi membuktikan komitmen kerajaan untuk menaik taraf DCA kepada CAA,” katanya, sambil menambah, ICAO akan menjalankan proses pengauditan ke atas DCA pada Mei ini.

Mengenai perkembangan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, Liow berkata, satu serpihan berkemungkinan milik pesawat itu yang ditemui di Mozambique, tiba di Malaysia semalam.

“Ia sedang diteliti pakar Malaysia dan akan dihantar ke Australia sekiranya perlu, untuk penelitian selanjutnya,” katanya.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing, China dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada awal pagi 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.