Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam bagaimanapun berkata, kerajaan menjalankan pemantauan, bagi memastikan tiada pihak menyalahgunakan bahan itu.
“Biji popi digunakan sebagai penambah perisa dan kuantiti yang digunakan amat sedikit.
“Orang ramai perlu memaklumkan kami, jika mereka mengesyaki ada kedai yang menggunakan kaskas secara berlebihan,” katanya yang dipetik The Star Online, hari ini.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, SAC Wan Abdullah Ishak berkata, sejak minggu lalu, polis mengesan terdapat pengusaha kek di ibu negara yang meletakkan kaskas di atas kek mereka dan dijual pada harga RM13 kepada umum, demi melariskan jualan perniagaan mereka.
Menurutnya, hasil ujian saringan ke atas biji popi itu mendapati, bahan kek terbabit positif dadah jenis morfin.
Jelasnya, jika ujian air kencing pembeli didapati positif dadah, mereka boleh ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah di dalam badan dan sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.
