Dua aktivis dibenar rujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi

Dua aktivis dibenar rujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi

Mahkamah Majistret tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan apa-apa persoalan undang-undang berhubung isu perlembagaan.

Adam-Adli_Mohd-Fariz_600

KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan dua aktivis Adam Adli Abd Halim dan Mohd Fariz Abd Talib untuk merujuk isu perlembagaan berhubung Akta Perhimpunan Aman 2012 ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris berkata Mahkamah Majistret tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan apa-apa persoalan undang-undang berhubung isu perlembagaan.

“Sehubungan itu, mahkamah ini menggantung sementara prosiding di mahkamah ini sehingga permohonan selesai, 21 Jun ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Kedua-dua aktivis berkenaan mengemukakan permohonan untuk mencabar beberapa isu iaitu sama ada Seksyen 4(1)(c), 4(2)(c) dan 4(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah bercanggah dengan perkara-perkara 8,9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 8 September 2015, Adam Adli, 26, dan Mohd Fariz, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyertai protes jalanan bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC di sini antara 4 petang dan 7.30 malam, 28 Februari tahun lepas.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) akta itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mereka diwakili peguam Eric Paulsen manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.