Siapa lagi pembangkang mahu jual di Johor? – Shahrir Samad

Siapa lagi pembangkang mahu jual di Johor? – Shahrir Samad

Pandangan Chin Tong bahawa PH boleh menguasai jumlah kerusi DUN dan Parlimen hanya andaian semata-mata.

sharir,liew

PETALING JAYA:
Tan Sri Shahrir Samad mempertikaikan kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong kononnya Pakatan Harapan boleh merampas 14 kawasan DUN dan 11 kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sambil menyatakan siapa lagi yang akan dijual oleh Pakatan Harapan (PH) untuk memancing undi Melayu dalam usahanya untuk mencapai matlamat tersebut, Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan, usaha pembangkang yang mahu menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk menarik pengundi di Johor hanya mampu menambah kerusi Parlimen Batu Pahat sahaja.

Malah, katanya, pandangan Chin Tong bahawa PH boleh menguasai jumlah kerusi DUN dan Parlimen berkenaan menerusi lima hingga 10% sahaja anjakan undi Melayu dilihat hanya andaian semata-mata.

“Adakah andaian dan perkiraan beliau seolah-olah Barisan Nasional Johor tidak buat apa-apa? (untuk tambah pengundi, tawan semula kerusi). Lagipun DAP hanya akan tanding di Tanjung Piai dan Labis, mustahil Chin Tong begitu yakin PKR dan AMANAH boleh menang 9 kerusi Parlimen lain,” katanya yang dipetik dari laman portal BNBBC.my.

Shahrir yang juga Pengerusi BNBBC berkata, matematik pemimpin DAP itu kononnya kerusi Johor Bahru boleh ditawan pembangkang sekiranya berlaku 10% anjakan pengundi Melayu kepada calon mereka juga tidak betul.

Katanya, jika jumlah pengundi pada PRU-13 digunakan dan berlaku anjakan undi 10 peratus, calon BN akan dapat 39,856 undi manakala pembangkang sebanyak 38,543 undi sekaligus membolehkan Barisan Nasional (BN) kekal menguasai Johor Bahru dengan majoriti 1.313 undi.

“Oleh itu, pembangkang jangan terlalu yakin dengan andaian DAP. Jika pada PRU-13, dengan Anwar diuar-uarkan sebagai bakal Perdana Menteri, mereka masih gagal menawan Johor.

“Jadi kali ini (PRU 14) siapa pula mereka akan ‘jual’ untuk memancing undi Melayu..adakah (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail), (Datuk Seri) Azmin Ali atau Mohamad Sabu,” soalnya.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang dalam kenyataannya minggu lalu berkata, jika 5% undi UMNO beralih ke Pakatan Harapan, pembangkang mampu menguasai tujuh DUN dan tujuh kawasan Parlimen manakala, jika anjakan itu bertambah 5% lagi, PH mampu merampas tujuh lagi DUN dan empat lagi Parlimen.

Katanya, jika berlakunya 5% anjakan undi UMNO kepada PH, pembangkang mampu menawan DUN berikut iaitu Gambir, Paloh, Mahkota, Nusajaya, Bukit Naning, Pemanis dan Sungai Balang manakala Parlimen pula ialah Pasir Gudang, Labis, Tebrau, Segamat, Ledang, Pulai dan Muar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.