
“Dalam memastikan kelangsungan dan penggantian yang teratur, Mueller akan menyerahkan notis enam bulan sehingga September 2016,” kata MAB dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MAB, Mueller memaklumkan lembaga pengarah syarikat bahawa beliau mahu kekal sebagai pengarah bukan eksekutif.
Mueller mengatakan pemergian awal ini atas “alasan peribadi”, dan menambah yang beliau bagaimanapun masih bersungguh untuk memudahkan pembaikpulihan Malaysia Airlines.
“Kami amat berdukacita dengan pemergian Christoph selaku CEO tetapi kami faham alasannya dan menghormati keputusan beliau,” kata Pengerusi MAB, Md Nor Yusof.
Menurut MAB, Mueller akan terus menguruskan “keputusan-keputusan strategik yang penting” yang telah ditetapkan dalam perancangan syarikat.
Sementara itu, MAB sedang mencari CEO baharu, yang menurut mereka akan melibatkan calon-calon berpotensi dari dalam dan luar negara.
Lembaga Pengarah MAB telah melantik Ketua Pegawai Operasi, Peter Bellew sebagai Pengarah Eksekutif berkuatkuasa serta-merta.
Dalam satu temubual bersama New Straits Times bulan lepas, Mueller menjelaskan tumpuan pelan pembaikpulihan lima tahun pada tahun ini adalah menyelamatkan dan menstabilkan kewangan syarikat.
“Semua terlalu mahal, kita punyai pembekal yang terlalu banyak,” kata Mueller petik laporan itu.
Mueller berkata syarikat mempunyai 20,000 pembekal pada masa beliau mengambilalih jawatan kanan itu, dan telah mengurangkannya kepada hanya 2,000 pembekal.
Warga Jerman berusia 52 tahun itu telah berjaya menstrukturkan Aer Lingus dan mengepalai perubahan Lufthansa.