PRN Sarawak: DAP rancang sidang video langsung ‘temui’ pengundi

PRN Sarawak: DAP rancang sidang video langsung ‘temui’ pengundi

Tan Kok Wai berkata, walaupun ramai pemimpin DAP yang dilarang menjejakkan kaki ke Sarawak, tetapi aktiviti-aktiviti bersama pengundi yang dirancang sebelum ini tetap diteruskan mengikut jadual

tan-kok,sarawak

PETALING JAYA:
Parti pembangkang akan mengadakan sidang video langsung untuk pemimpin yang dihalang memasuki Sarawak, bagi memudahkan mereka berdialog dengan pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11.

Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang dipetik China Press berkata, walaupun ramai pemimpin parti itu yang dilarang menjejakkan kaki ke Sarawak, tetapi aktiviti-aktiviti bersama pengundi yang dirancang sebelum ini tetap diteruskan mengikut jadual dengan menggunakan kaedah sidang video langsung itu.

Jelasnya, beliau akan pergi ke Bintulu hari ini, bagi membantu kempen parti itu.

“Kami masih ada ramai pemimpin yang boleh pergi ke Sarawak. Sekalipun tidak dapat masuk ke Sarawak, masih ada ramai ahli DAP boleh bantu kempen PRN, kami juga akan fikirkan cara-cara lain untuk bantu kempen di Sarawak,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu semalam.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, parti itu telah menghantar semua ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri ke Bumi Kenyalang, namun mereka yang dilarang memasuki Sarawak terdiri daripada ahli parlimen sedia ada.

Beliau tidak menolak kemungkinan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng yang kini berada di Sarawak, akan disekat apabila mereka menjejakkan kaki semula ke negeri itu pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, DAP telah memikirkan jalan penyelesaian, jika perkara itu berlaku.

Sehingga kini, lima ahli parlimen DAP dilarang ke Sarawak, iaitu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Kluang, Liew Ching Tong dan Anthony sendiri.

Terbaru ialah Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang dilarang memasuki Sarawak.

Menurut laporan The Star, Ngeh diberikan Notis Penolakan Masuk, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pagi tadi.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily pula melaporkan, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang tiba di Sibu pada jam 12.45 tengah hari tadi, terpaksa menaiki penerbangan jam 3.10 petang untuk pulang ke ibu negara, kerana dihalang memasuki Sarawak.

Minggu lalu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri tidak akan membatalkan sekatan ke atas pemimpin pembangkang sehingga PRN Sarawak selesai.

Tegasnya, mereka boleh menjejakkan kaki ke Sarawak pada bila-bila masa sahaja, selepas PRN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.