Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat pendakwah yang sering melibatkan diri dalam program-program tarbiyah (Islamik) namun status Facebook pula sibuk menghentam individu lain.
“Tanpa segan silu golongan ini sewenangnya suka melabel dan menggelar orang lain dengan pelbagai gelaran dan label negatif seolah-olah mereka sahaja yang lebih kudus dan hebat dari segi kerja amal dan pendekatan dakwah berbanding orang lain.
“Mereka (pendakwah) mungkin terlupa bahawa Islam tidak meremehkan apa jua amalan makruf yang dibuat oleh orang lain, apatah lagi menggelar dengan pelbagai label yang buruk dan menyakitkan hati,” tulisnya di akhbar Sinar Harian, hari ini.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Asyraf menambah, penting diinsafi bahawa penyakit hati yang merasakan dirinya suci, lebih dekat dengan tuhan dan lebih baik dari orang lain akan menjadikan seseorang itu sombong, ujub, takkabur dan ego.
“Lebih menjelikkan apabila dilakukan oleh orang yang berlabel agama ataupun golongan pendakwah, namun mudah menghukum orang lain dengan pelbagai labelan dan tohmahan seolah-olah dirinya sahaja yang betul, suci, kudus dan bebas daripada segala kelemahan diri.
“Penyakit sebegini lebih mudah menguasai diri apabila diselimuti dengan perasaan angkuh atas segala ibadah dan kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya sehingga berasa diri lebih banyak beribadah dan beramal berbanding-berbanding orang lain,” ujarnya.
