Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menasihati orang ramai supaya berjaga-jaga, selain mengurangkan aktiviti luar.
“Saya lihat jerebu telah kembali di beberapa kawasan. Saya harap semua berjaga-jaga, terutama yang bekerja atau selalu berada di luar. Pakai topeng muka dan sebagainya.
“Kegiatan fizikal di luar juga, terutama untuk warga emas dan anak-anak wajar dikurangkan sekiranya kawasan sekitar mengalami jerebu teruk,” tulisnya di laman Twitternya hari ini.
Jabatan Alam Sekitar melaporkan, Pelabuhan Klang, Selangor dan Miri di Sarawak sebagai kawasan dengan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat, setakat jam 11 pagi tadi, dengan bacaan masing-masing ialah 105 dan 146.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jerebu yang melanda Lembah Klang sejak Rabu lalu, berpunca daripada asap kebakaran di beberapa kawasan di Semenanjung, termasuk kebakaran hutan tanah gambut di Kuala Langat dan Sepang, Selangor.
Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan cuaca panas dan kering, sekali gus menyebabkan pencemar udara terapung di udara.
Beliau turut mengingatkan keadaan cuaca yang panas dan kering turut menyebabkan pencemar udara terapung dan masalah (jerebu) menjadi sukar diatasi.
