Cuaca panas berpanjangan, ancaman El Nino ‘Godzilla’ bahayakan empangan

Cuaca panas berpanjangan, ancaman El Nino ‘Godzilla’ bahayakan empangan

Pakar air gesa langkah pemuliharaan diambil segera berikutan gelombang haba dijangka berlarutan hingga Jun.

Kapasiti di empangan Muda di Sik, Kedah, telah merosot kepada 8.04%, manakala paras air di empangan lain di wilayah utara turut menunjukkan penyusutan susulan cuaca panas berterusan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pakar memberi amaran bahawa cuaca panas berpanjangan, ditambah dengan ancaman fenomena El Niño ‘Godzilla’ yang dijangkakan, boleh menambah tekanan terhadap empangan-empangan di Malaysia, terutamanya di negeri-negeri utara.

El Niño ‘Godzilla’ ialah istilah tidak rasmi yang digunakan oleh saintis dan pakar meteorologi untuk menggambarkan kejadian El Niño yang luar biasa kuat dan jarang berlaku, dicirikan oleh pemanasan permukaan laut yang melampau di Lautan Pasifik.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas ketika ini dijangka berterusan hingga Jun, dan tinjauan mendapati sudah terdapat tanda-tanda penyusutan paras air empangan di beberapa buah negeri.

Di Pulau Pinang, paras air di empangan Air Itam mencatatkan 69.9%, empangan Teluk Bahang pada 84.4%, dan empangan Mengkuang yang telah diperluas berada pada 91.3% setakat 27 Mac.

Keadaan lebih membimbangkan di Perlis dan Kedah, dengan air di empangan Timah Tasoh, Perlis dijangka hanya mampu bertahan sekitar dua setengah bulan tanpa hujan, manakala Bernama melaporkan paras air di empangan Muda, Sik telah merosot kepada hanya 8.04%.

K Kalithasan daripada Pusat Alam Sekitar Global (GEC) berkata, corak cuaca semasa, ditambah dengan ramalan kemungkinan berlakunya kejadian El Niño yang melampau pada hujung tahun ini, boleh mengurangkan rizab air dengan ketara jika keadaan berterusan.

Kalithasan berkata, langkah-langkah seperti pemindahan air antara empangan, pembenihan awan dan memaksimumkan pengambilan air sungai boleh dilaksanakan oleh negeri-negeri yang terjejas.

“Jika kita tidak ambil langkah penjimatan atau pemuliharaan air segera, Malaysia boleh hadapi kekurangan bekalan air dan mungkin sukar untuk bertahan dalam cuaca panas yang dijangkakan ini,” katanya kepada FMT.

Profesor Universiti Sains Malaysia yang juga pengerusi Water Watch Penang Chan Ngai Weng berkata, pengendali empangan biasanya bertindak balas terhadap penyusutan paras air dengan gabungan langkah jangka pendek dan berstruktur.

Chan berkata, pengendali sering bermula dengan mengeluarkan amaran awal kepada pengguna dan memperketat protokol pengurusan air.

“Pengendali juga mungkin melancarkan kempen penjimatan air awam dan mengurangkan tekanan air dalam sistem pengedaran bagi meminimumkan pembaziran dan kehilangan air tidak terhasil (NRW).

“Dalam sesetengah kes, pelarasan tarif juga mungkin dipertimbangkan untuk elak penggunaan berlebihan,” katanya.

Pembenihan awan juga boleh diterokai, katanya, walaupun keberkesanannya tidak dijamin.

Pada 24 Mac, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, Malaysia tidak berisiko mengalami ‘kebankrapan air’, berikutan taburan hujan yang tinggi melebihi 2,500mm setahun dan sumber air boleh baharu yang menjangkau lebih 580 bilion meter padu.

Bagaimanapun, Kalithasan berkata, unjuran semasa menunjukkan risiko itu mungkin timbul pada masa depan jika ketidakcekapan pengurusan air tidak diatasi.

“Kita mesti berhemat dalam penggunaan air dan mula pandang serius pengurusan air merentas semua sektor – domestik, pertanian dan perindustrian. Kita juga perlu guna semula dan kitar semula air kelabu,” katanya.

Chan berkata, walaupun Malaysia mempunyai sumber air yang banyak berbanding kebanyakan negara lain, pengurusan air di sebahagian besar negeri masih pada tahap yang lemah.

“Sungai-sungai kita, yang merupakan sumber air utama, sangat tercemar dan terjejas teruk. Kita perlu lindungi dan peliharanya untuk elak (alami) kebankrapan air,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.