Pembenihan awan di 2 LRA, 5 empangan Johor akibat kemarau

Pembenihan awan di 2 LRA, 5 empangan Johor akibat kemarau

Ahli Parlimen Kota Tinggi Khaled Nordin berkata pembenihan awan bermula hari ini dan esok susulan kemarau lebih dua bulan.

Operasi pembenihan awan membabitkan kawasan di sekitar loji rawatan air Lok Heng dan Gembut, selain Empangan Upper Layang, Machap, Seluyut, Lebam serta Linggiu. (Gambar Agensi Pengurusan Bencana Negara)
KOTA TINGGI:
Kawasan di sekitar loji rawatan air (LRA) Lok Heng antara lokasi pembenihan awan bermula hari ini dan esok susulan kemarau yang menjejaskan lebih 4,000 pengguna di Felda Lok Heng serta Felda Waha sejak awal bulan ini.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Khaled Nordin, berkata tarikh itu dipilih kerana sebelum ini didapati awan di kawasan terbabit nipis dan tidak sesuai menjalankan operasi berkenaan.

“Marilah sama-sama berdoa dan memohon kepada Ilahi agar cabaran gangguan bekalan air ini dapat diatasi,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Operasi pembenihan awan turut membabitkan beberapa kawasan lain di Johor, iaitu Empangan Upper Layang, Empangan Machap, Empangan Seluyut, Empangan Lebam, Empangan Linggiu dan LRA Gembut.

Khaled yang juga menteri pertahanan berkata, pelbagai usaha mitigasi dilaksanakan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan, termasuk penggunaan air bawah tanah melalui telaga tiub serta cubaan pemindahan air dari Sungai Lukah.

Tetapi, katanya, dua kaedah itu tidak dapat diteruskan susulan keadaan sumber air terhad, selain tahap kemasinan tinggi di sungai berkenaan yang tidak sesuai untuk dirawat menggunakan fasiliti sedia ada di LRA terbabit.

Beliau berkata, pengendali air Johor, Ranhill SAJ turut menggunakan set loji penyahgaraman di LRA Lok Heng yang dijangka mampu menghasilkan dua juta liter air terawat sehari bagi menangani gangguan bekalan air susulan kemarau berpanjangan lebih dua bulan.

“Usaha ini diharapkan dapat membantu memulih dan menstabilkan semula bekalan air secepat mungkin, sekali gus mengurangkan kesulitan dihadapi penduduk terjejas di kawasan berkenaan. Saya difahamkan pelaksanaan loji penyahgaraman menghadapi sedikit kelewatan.”

Pada 15 April lalu, Exco Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata loji penyahgaraman itu beroperasi Isnin lepas dan sekurang-kurangnya dapat membantu pengguna di kawasan Felda Lok Heng serta Waha untuk menerima bekalan air dari pili paip rumah mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.