MAS semakin mundur – Bekas CEO MAS

MAS semakin mundur – Bekas CEO MAS

Rakyat kini tidak boleh berbangga lagi dengan MAS yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan kita

aziz-rahman-mueller
PETALING JAYA: Kegemilangan syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang pernah dikenali sebagai Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dilihat sudah tidak sehebat dahulu.

Dakwaan itu dilemparkan bekas Pengarah Urusan MAS yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAS pada 1980-an, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang sekali gus menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan yang diambil pihak berwajib sehingga membawa kepada kemundurannya.

“Masa saya jadi CEO MAS pada tahun 80-an, seorang pun tak ada warga asing dari peringkat atas hingga ke bawah pengurusan pun. Maknanya dari tahun 80-an hingga hari ini, kita makin mundur sehari demi sehari. Ini yang saya pertikaikan.

“Saya perlu sebut ini semua, sebab mungkin kerajaan dan orang ramai pun tak tahu semua ini. Memang sudah lama saya tinggalkan MAS… lebih 20 tahun, tetapi tiap kali orang jumpa saya, orang asyik tanya tentang MAS, masa depan MAS.

“Jadi, saya ambil tanggungjawab untuk sentuh perkara ini,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata demikian merujuk kepada tindakan pengurusan MAS yang melantik warga asing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAS, kononnya demi menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, langkah CEO baru, Christoph Mueller menghantar notis peletakan jawatannya yang berkuat kuasa September ini, meskipun tempoh kontraknya masih berbaki lebih setahun, disebabkan dia tidak mempunyai semangat sebagai rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, beliau mengakui kelemahan MAB turut melibatkan beberapa keputusan operasi, seperti pengurangan laluan destinasi penerbangan yang dilihat tidak berdaya saing dengan dunia penerbangan masa kini yang mengamalkan dasar langit terbuka.

“Dulu, rakyat negara ini boleh berbangga dengan wujudnya MAS. Ia selari amalan setiap negara memiliki syarikat penerbangan sendiri atau kebangsaan.

“Sebab itu, kita tubuh Malaysia Airlines System sebagai syarikat penerbangan kebangsaan. Masa itu, ia dimiliki kerajaan.

“MAS dilindungi dengan ‘golden protection’, di mana syarikat ini tetap menjadi milik kerajaan, supaya warganegara kita boleh berbangga, dikenali seluruh dunia sebagai satu negara bermaruah yang memiliki syarikat penerbangan sendiri dan boleh pergi ke merata dunia.

“Tapi, apa yang ada sekarang ini tidak boleh lagi digelar syarikat penerbangan kebangsaan, kerana ia kecil dan tidak pergi laluan-laluan yang kita pernah ada!” katanya.

Beliau mengambil contoh laluan ke London yang kini hanya tinggal satu, berbanding dua penerbangan pada 50 tahun dulu.

Malah, beliau juga memetik laluan lain ke Amsterdam, Paris, Dubai dan sebagainya yang dibatalkan MAB.

Katanya, semua ini akan menyukarkan MAB untuk kembali bangkit seperti dahulu kala, kerana dunia hari ini mengamalkan dasar langit terbuka.

“Pada saya, syarikat ini (MAB) bukan syarikat penerbangan kebangsaan lagi, kerana ia tidak menjalankan tugasnya mengikut kehendak. Pada masa akan datang, boleh jadi (sebagai syarikat penerbangan kebangsaan), tapi lama lah.

“Sebab apa lama? Sebab persaingan semakin hebat. Banyak syarikat penerbangan lain timbul. Suasana perniagaan penerbangan sudah bertukar, tidak seperti dahulu,” katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan kemampuan MAB bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang sudah berkembang di merata dunia, misalnya Singapore Airlines.

“Garuda Indonesia, Thai International pun sudah berkembang.

“Jangan kita terlewat untuk menjadi sebuah syarikat besar dalam suasana langit terbuka. Apa persediaan dia (MAB) untuk berdepan dunia langit terbuka? Tanyalah dia (MAB)?” pesannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.