
Beliau berkata, polis yang berjaya menahan suspek berumur 29 tahun itu tidak lama selepas kejadian itu, sedang mengaturkan supaya dia menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Katanya, polis menasihati orang ramai supaya tidak menjadikan insiden yang berlaku kira-kira jam 5.10 petang semalam itu sebagai isu perkauman.
“Jika terbukti dia tidak siuman, maka apa yang dilakukannya itu adalah di luar kawalan, bukan niat untuk menghina sebarang agama.
“Semasa kejadian hanya terdapat seorang sami di kuil berkenaan yang juga saksi kejadian,” katanya selepas meninjau keadaan di kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil itu, lewat malam tadi.
Sum berkata, suspek masuk ke kawasan kuil itu dengan sebuah kereta, sebelum memecahkan patung berkenaan dengan sebilah parang.
Katanya, selepas merosakkan patung berkenaan, suspek melarikan diri ke Jalan Ghazali Jawi dengan memandu kereta secara melawan arus dan terbabas lalu melanggar sebuah perhentian bas sebelum ditahan polis.
Ketika ditanya sama ada suspek yang difahamkan pernah menuntut di Mesir itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh, katanya, buat masa ini polis tiada maklumat mengenai perkara itu, namun akan menyiasat secara terperinci.
– BERNAMA