
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Suriyati Hasimah Hashim, tidak memberikan alasan bagi keputusannya itu, kata peguam Rajesh Nagarajan.
Rajesh bersama Sachpreetraj Singh Sohanpal, yang mewakili pihak pengurusan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran – defendan dalam pertikaian tersebut – telah memfailkan rayuan terhadap keputusan terbaharu itu.
“Kami tidak tahu sebab Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan (terdahulu) tersebut,” kata Rajesh ketika dihubungi.
Rajesh berkata beliau telah mengeluarkan ‘surat amaran’ kepada Yayasan Kubra agar tidak merobohkan baki struktur kuil itu sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang memutuskan bahawa Yayasan Kubra tidak boleh menjalankan kerja perobohan kuil itu berikutan wujud pertikaian berkaitan tanah tersebut.
Majistret Chai Guan Hock menyatakan bahawa kuil itu telah wujud di tapak berkenaan sejak 1995, manakala pemilik tanah semasa memiliki tanah tersebut sejak 2021.
“Mahkamah mengambil kira bahawa tapak ini berpotensi menimbulkan ketegangan awam sekiranya keadaan tidak dikawal dengan baik,” katanya.
Pada 11 Feb, polis menahan empat lelaki yang didakwa cuba merobohkan kuil berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata siasatan mendapati lelaki terbabit merobohkan sebahagian kuil itu tanpa berbincang dengan pihak pengurusan kuil atau memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan. Keempat-empat mereka kemudian dibebaskan.
Walaupun jawatankuasa kuil tidak mempertikaikan bahawa Yayasan Kubra merupakan pemilik sah tanah tersebut, mereka tidak berpuas hati dengan perobohan sebahagian kuil itu dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘menyalahi undang-undang.