
Bagaijmanapun, tertuduh, M Thiruselvam, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu invois bertarikh 15 November 2021 berjumlah RM50,000 bagi menuntut bayaran bagi ‘Consultancy Of Majlis Approval For New Yaga Salai, Resolving Leaking Work For Poorviga Amman dan Resolving Leaking Work For Main Temple (Vinayagar Sanathi, Easwari Sanathi and Murugan Sanathi)’.
Invois berkenaan didakwa diserahkan kepada setiausaha kuil berusia 64 tahun pada 22 November 2021 di premis kuil berkenaan.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei depan bagi sebutan semula kes.
Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, bekas pengerusi kuil berkenaan, P Selvam, 70, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat berhubung tuntutan sama yang didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi sama.
Tertuduh yang didakwa mengikut seksyen sama dibenarkan jaminan RM15,000 oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu bagi dibicarakan di hadapan Hakim Mohd Nasir pada tarikh sama.
Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi mengendalikan pendakwaan, Thiruselvam diwakili peguam N Lalitha manakala Selvam diwakili peguam M Segaran.