
Khalid menegaskan, beliau turut menentang pemberian tender kerajaan atau kontrak polis berhubung senjata api kepada ahli keluarganya dan jika perkara itu berlaku, Sarawak Report sudah tentu menyiarkan berita mengenainya.
“Mereka telah lama mendapat lesen operasi dan membaiki pistol serta senjata api, sebelum saya menjadi KPN,” katanya yang dipetik Malay Mail Online, selepas menghadiri sebuah majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.
Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut, kerana tidak mahu disalah tafsir sebagai menyebelahi syarikat anak perempuannya.
Minggu lalu, Sarawak Report menyiarkan satu gambar yang didakwa tangkap layar Nilai Arms & Ammunitions yang menunjukkan majoriti saham dimiliki Juwiza Khalid.
Portal itu turut mendakwa ipar Khalid, Mohd Isa Hussin adalah pemegang saham minoriti untuk syarikat berpangkalan di Nilai itu.
Sarawak Report mendakwa, orang ramai boleh mendapat permit dan membeli senjata api dengan mudah melalui syarikat terbabit.
Susulan laporan itu, Pengerusi Badan Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat jika syarikat terbabit mendapat sebarang kontrak kerajaan.