“Ketegasan kita untuk mencorak kebebasan media mengikut acuan tersendiri ini kadangkala disalah erti oleh masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang tidak mendokong prinsip demokrasi yng bertunjang kepada hak asasi manusia,” kata Apandi di majlis makan tengah hari bersama pengarang dan pengamal media hari ini.
Menghuraikan laporan itu, Apandi berkata markah global Malaysia turun daripada 43.29 kepada 46.57 markah tahun ini, dimana markah yang lebih kecil menunjukkan kebebasan media yang lebih luas, menurut sistem pemarkahan Reporters Without Borders.
Namun begitu, badan yang sama juga pada tahun 2015 melaporkan bahawa 2/3 negara, termasuk Amerika Syarikat dan Singapura, menunjukkan kelembapan dalam kebebasan media.
“Mengambil kira kedudukan itu, persoalan yang perlu ditanya ialah sebagai pengamal media, adalah kedudukan ini benar-benar mencerminkan tahap kebebasan di Malaysia?” soal Apandi.
Myanmar berada di tangga 143, diikuti Filipina (138), Thailand (136) dan Indonesia (130).
Apandi berkata kebebasan media perlu mengambil kira kepelbagaian budaya dan kepelbagaian agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia, malah Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kebebasan bersuara sepenuhnya.
“Kebebasan rakyat Malaysia untuk bersuara dijamin Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan kebebasan bersuara kepada semua warganegara. Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa ia bukan hak yang penuh dan mutlak,” kata Apandi.
Apandi menjelaskan Fasal 2 Perkara yang sama memberikan Parlimen kuasa untuk mengenakan sekatan undang-undang keatas kebebasan bersuara demi melindungi keselamatan negara.
“Tiada negara yang sebenar-benarnya bebas,” kata Apandi. “Tidak ada kebebasan sempurna.”
