Perintah itu dikeluarkan kerana lelaki terbabit yang pernah dikenali sebagai K Patmanathan didakwa menghina mahkamah selepas enggan memulangkan anak bongsunya, Prasana Diksa yang diculiknya pada Mac 2009 kepada Indira.
“Selepas menanti hampir tujuh tahun, akhirnya sesuatu yang baik datang. Ini adalah kemenangan manis,” kata Indira ketika ditemui di luar mahkamah hari ini.
Menurutnya, beliau mahu melupakan perkara itu dan meneruskan hidupnya.
“Prasana kini berusia 8 tahun. Saya harap penantian lama itu akan berakhir secepat mungkin. Saya perlu jumpanya.
“Saya telah hilang lapan tahun bersamanya. Saya harap dapat jumpanya tidak lama lagi,” katanya.
Peguam Indira, M Kulasegaran berharap dengan penahanan bekas suami wanita itu, dia akan memulangkan Prasana kepada Indira atau berdepan kemungkinan dipenjarakan sehingga kanak-kanak itu dipulangkan kepada ibunya.
Indira masih ada perjuangan yang belum selesai, kerana Mahkamah Persekutuan Putrajaya akan mendengar permohonannya pada 19 Mei ini bagi mendapat kebenaran untuk memfailkan rayuan berhubung penukaran agama ketiga-tiga anaknya kepada Islam tanpa pengetahuannya pada April 2009.
Pada 30 Disember 2015, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memutuskan perakuan memeluk Islam ke atas ketiga-tiga anaknya itu terbatal dan tidak sah, kerana tidak mengikut perlembagaan ditetapkan.
Menurut Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kesahihan penukaran agama kanak-kanak berkenaan yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.
Pengislaman itu terbatal mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 yang menghendaki anak-anak Indira hadir untuk mengucapkan dua kalimah syahadah sewaktu pendaftaran pengislaman itu dilakukan.
