Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian itu berlaku pada jam 12.50 tengah hari ketika Siti Syuhada Ariffin, 32, yang menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Pejabat Imigresen UTC di Alor Setar terlanggar seorang pejalan kaki yang tiba-tiba melintas jalan.
“Mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kuala Kedah ke tempat kerja. Seorang pejalan kaki telah melintas jalan secara tiba-tiba dari pembahagi jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh pejalan kaki itu.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang di kiri jalan dan meninggal dunia manakala pejalan kaki pula telah tercampak di atas jalan dan cedera parah di kepala,” katanya.
Pejalan kaki itu, Md Noh Jusoh, 55, yang berasal dari Kuala Kedah turut patah kaki kiri dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.
Sementara itu, rakan kepada suami mangsa, Jeffrey Johari, 50, berkata beliau menerima panggilan telefon dari pejabat Imigresen memaklumkan kemalangan berkenaan pada jam 1.01 tengah hari, sebelum memaklumkan kepada suami mangsa, Sulhaimizan Samsuddin, 32.
Jeffrey yang bertugas bersama Sulhaimizan di Jabatan Penjara Alor Setar berkata, ketika panggilan itu diterima, suami mangsa baru hendak memulakan syif kerjanya pada jam 2 petang.
“Kami kemudian berkejar ke lokasi kemalangan. Apabila sampai kami lihat muka mangsa tersembam di atas jalan raya dengan kecederaan teruk pada mukanya.
“Siti Syuhada sepatutnya mengambil ujian lesen memandu minggu ini,” katanya.
Allahyarham meninggalkan tiga anak yang berusia lima bulan hingga lima tahun.
Jenazah Siti Syuhada dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tawar, Baling.
– BERNAMA
