Bukan tadika ‘militan’, tetapi lakonan konflik Palestin

Bukan tadika ‘militan’, tetapi lakonan konflik Palestin

Lakonan konflik Palestin-Israel itu diadakan pada 2014 bersama MAPIM

budak-pistol

PETALING JAYA:
Tadika yang terpalit kontroversi, selepas gambar murid-murid berpakaian celoreng dan memegang senjata mainan tersebar luas, tampil mempertahankan diri mereka.

Menurut tadika itu yang dipetik New Straits Times, gambar berkenaan adalah murid-murid yang mengambil bahagian dalam lakonan konflik Palestin-Israel.

Guru besar Tadika Hidayah Bestari yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, lakonan itu diadakan pada 2014 bersama badan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Guru besar itu menjelaskan, ibu bapa yang menghadiri lakonan itu memberi sumbangan kepada MAPIM bagi membantu mengumpul dana untuk mangsa-mangsa perang di Syria dan Palestin.

Tambahnya, ada di kalangan murid-murid yang menyertai lakonan itu memakai kostum menyerupai tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Jelasnya, gambar yang menjadi viral di media sosial itu menunjukkan murid-murid berpakaian celoreng dan memegang senjata mainan, kerana mereka melakonkan semula situasi di Palestin.

Menurut guru besar itu, guru yang memuat naik gambar-gambar itu tidak lagi bekerja di tadika berkenaan.

Semalam, peguam dan aktivis, Siti Kasim melalui status di Facebooknya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap tadika berkenaan.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan sebagai berkata, polis sedang memantau tadika “militan” di Kota Damansara itu sejak tahun lalu.

Jelasnya, polis juga sedang memantau tadika-tadika di seluruh negara bagi memastikan ia tidak dijadikan pusat latihan tentera kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.