Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata jabatan berkenaan akan melakukan siasatan berhubung penemuan bangkai kapal itu yang didakwa karam secara misteri di sungai itu lebih 100 tahun lalu.
“Kakitangan jabatan perlu menemu bual ketua kampung dan penduduk yang dikatakan menemui bangkai kapal berkenaan. Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi dan kita minta semua pihak turut tidak berbuat demikian,” katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.
Sharkar berkata beliau juga mengetahui mengenai penemuan kapal itu menerusi laporan media memandangkan tiada laporan berkaitan penemuan tersebut sebelum ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri akan memikirkan sesuatu yang boleh menjadikan penemuan itu sebagai satu lagi khazanah pelancongan di Pahang, jika dakwaan kapal itu milik British adalah benar.
Semalam, media melaporkan penemuan bangkai kapal berkenaan susulan paras air sungai Pahang yang menjadi semakin cetek akibat fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.
– BERNAMA
