Lubang pembetungan telah ditutup

Lubang pembetungan telah ditutup

Lubang pembetungan itu didapati ditutup pada pagi semalam, manakala kawasan di sekelilingnya telah diletakkan penghadang plastik dan konkrit.

Lubang pembetungan

PETALING JAYA:
Lubang pembetungan sedalam 12 meter di Jalan Universiti telah ditutup, selepas sebuah kereta terjunam ke dalam lubang berkenaan kelmarin.

China Press melaporkan, lubang pembetungan itu didapati ditutup pada pagi semalam, manakala kawasan di sekelilingnya telah diletakkan penghadang plastik dan konkrit.

Sementara itu, Malay Mail melaporkan kontraktor terbabit telah diarah menghentikan projek pembetungan bawah tanah itu pada jam 4.40 petang kelmarin sehingga diberitahu kelak.

Dua mangsa yang cedera juga sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang dipetik agensi berita Bernama menggesa pihak berkuasa tempatan dan persekutuan terbabit lebih tegas dalam memantau dan menyelaras aspek keselamatan terhadap kerja-kerja berkaitan pembinaan jalan raya dan infrastruktur bagi mengelakkan berlaku kemalangan besar dan kehilangan nyawa.

“Di Kuala Lumpur dan Selangor, boleh dikatakan banyak lubang dan lurang yang membahayakan nyawa, peninggalan daripada kerja pembinaan beberapa tahun dahulu yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebagai negara yang semakin maju, perkara begini tidak sepatutnya berlaku, tetapi malangnya rakyat Malaysia terpaksa menghadapi isu ini serta akibat daripadanya setiap hari,” kata Nadzim.

Beliau berkata, satu daripada inisiatif yang boleh diambil pihak berkuasa tempatan dan persekutuan ialah melaksanakan penyelarasan dan perancangan dengan lebih berhati-hati bagi semua kerja yang akan dijalankan.

“…adakan sistem perpusat bagi menyelaras kerja begini. Contohnya, kontraktor perlu mendaftarkan diri dan melaporkan kepada pihak berkuasa beberapa bulan sebelum sesuatu kerja itu perlu dilakukan dan pihak berkuasa pula perlu menetapkan tempoh untuk kerja itu dilaksanakan semua kontraktor dalam tempoh berkenaan.

“Ini akan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya kerana mereka tahu tidak perlu mengalami keadaan jalan yang berlekak-lekuk setiap hari selama berminggu-minggu,” katanya.

Nadzim juga mencadangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji kemungkinan mewajibkan pemandu menjalani pemeriksaan apabila mereka mencapai usia tertentu bagi memastikan mereka masih sesuai, cergas dan mempunyai penglihatan yang baik untuk memandu.

“Ini mungkin penting bagi mengelak faktor manusia menjadi satu daripada punca kemalangan yang boleh mendedahkan pengguna jalan raya lain kepada bahaya,” katanya.

Sementara itu, Azlan Sani Zawawi daripada Lando Brotherhood, sebuah persatuan penunggang motosikal yang melakukan kerja sukarela menampal lopak jalan raya di sekitar Lembah Klang, bersetuju penguatkuasaan secara tegas perlu dilaksanakan pihak berkuasa tempatan dan persekutuan.

Katanya, ini bagi memastikan kontraktor meletakkan papan tanda lebih jelas dan memasang penghadang lebih kukuh di tempat sesuatu kerja dijalankan.

“Penghadang yang diletakkan di kawasan bekerja perlulah cukup kukuh untuk menghadang sesebuah kereta daripada menjunam ke dalam lurang, di samping menutup semua lubang setelah kerja pada hari berkenaan selesai dilakukan bagi mengelak pengguna merempuh dan jatuh ke dalamnya,” kata beliau.

Kelmarin, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kejadian sebuah kereta dipandu seorang warga emas berusia 86 tahun, terjunam ke dalam lubang pembetungan di Petaling Jaya.

Kemalangan itu menyebabkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana lubang sebesar dan sedalam itu tidak ditutup dengan sebaik-baiknya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.