
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som berkata, aset dan anggota agensi yang terlibat dalam operasi pencarian berkenaan memasuki sektor carian kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Berdasarkan keadaan angin dan arus dan sekiranya bot yang hilang dipercayai terapung dan hanyut, perkiraan menunjukkan bot hanyut ke Barat atau Barat Laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya dalam operasi pencarian hari ini, APMM menggunakan aset KM Memmon, Kilat 48 dan pesawat Dauphin, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menggerakkan aset KD Baung dan KD Jerong.
Menurutnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula menggunakan Beachcraft, manakala Pasukan Polis Marin menggunakan aset RH18 dan RH49.
Dalam kejadian Isnin lalu itu, empat individu yang dilaporkan menaiki bot berkenaan ialah wanita rakyat Malaysia dikenali sebagai Ella, 23, warga China Tommy Lam Lai Yin, 44, dan warga Sepanyol, David Hernandes Gasulla, 29, serta Martha Miguel, 30.
Keempat-empatnya tidak muncul di Tanjung Simpang Mengayau mengikut waktu yang dijangkakan, selepas meninggalkan Kampung Batu Sirih, Pulau Balambangan kira-kira jam 5.30 petang Isnin lalu.
– BERNAMA