Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pembatalan itu dibuat berikutan bagi menghormati mangsa nahas helikopter yang membawa 6 orang penumpang termasuk pemimpin UMNO.
“Saya mewakili Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan kepimpinan parti serta ahli-ahli UMNO turut berdukacita dan bersedih atas insiden nahas helikopter AS350.
“Sehubungan itu, saya dan kepimpinan parti telah sepakat untuk membatalkan Karnival Himpunan Hari UMNO. Pembatalan ini termasuklah acara Sukan UMNO dan Larian Bendera UMNO yang sedang berlangsung sekarang ini di seluruh negara.
“Walaupun persiapan telah dibuat sepenuhnya dan perancangan telah dilakukan namun kami berpandangan ini bukan masa yang sesuai untuk meneruskan acara tersebut apatah lagi rasa sedih bukan hanya menyelubungi ahli keluarga mangsa tetapi juga ahli-ahli UMNO dan rakyat di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan dibuat hari ini.
Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata sambutan ulang tahun UMNO yang dijadualkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mei akan diteruskan secara sederhana.
“Ini membabitkan bacaan Yassin dan tahlil yang bukan sahaja untuk mengenang para pemimpin terdahulu dan perjuangan UMNO tetapi juga memperingati mangsa nahas helikopter AS350 ini.
“UMNO juga merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan kami terus berdoa agar usaha pencarian mangsa nahas lancar dan dipermudahkan Allah SWT,” katanya.
Pesawat jenis Eurocopter AS350 yang berlepas dari Betong ke Kuching dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan.
Helikopter itu membawa Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan enam orang termasuk suami Noriah, Asmuni Abdullah dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, yang juga merupakan Anggota Parlimen Kuala Kangsar.
Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri. Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.
