Najib: Gabenor akui GST, rasionalisasi subsidi bantu negara

Najib: Gabenor akui GST, rasionalisasi subsidi bantu negara

Jika rasionalisasi subsidi tidak dilaksanakan, negara kita akan menghadapi nasib yang sama seperti Greece (krisis kewangan).

najib-razak-gst

PUTRAJAYA:
Gabenor Negara yang baru dilantik Muhammad Ibrahim mengakui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi telah menghalang negara daripada menghadapi nasib yang sama seperti Greece.

Demikian kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak yang mendedahkan perkara selepas dimaklumkan oleh Muhamad dalam pertemuan di antara mereka baru-baru ini.

“Jika rasionalisasi subsidi tidak dilaksanakan, negara kita akan menghadapi nasib yang sama seperti Greece (krisis kewangan),” katanya dalam mesyuarat bulanan kementeriannya.

“Setahun berlalu, orang memahami memahami implikasi (GST) kepada kita semua,” jelasnya mengenai cukai yang dilaksana pada 1 April 2015 lalu.

Najib berkata, walaupun harga barangan meningkat namun, GST telah membantu negara untuk melaksanakan pelbagai projek dan pembangunan dalam negara.

Malah kerajaan juga katanya, memberi kelonggaran cukai termasuk pengecualian barangan GST ‘zero-rated’ bagi melindungi rakyat daripada tekanan ekoran pelaksanaan GST.

“Walaupun pembangkang cuba memainkan isu cukai tersebut tetapi rakyat mula memahami GST.

“Sebab-sebab untuk melaksanakannya adalah munasabah dan tepat. Ia adalah untuk masa depan negara dan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga berkata di sebalik ketidaktentuan ekonomi disebabkan oleh kejatuhan drastik harga minyak dan komoditi lain, kerajaan masih mampu melaksana pelbagai projek dan polisi demi kebaikan rakyat.
Antara contoh ialah pelaksanaan gaji minimum mulai 1 Julai iaitu daripada RM900 kepada RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan dari RM800 ke RM920 di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kerajaan juga katanya bertekad untuk membangunkan lebuh raya Pan Borneo yang akan menelan belanja RM27 bilion.

“Kita perlu menguruskan ekonomi negara dengan baik walaupun ekonomi tidak berpihak kepada kita,” katanya.

Perdana Menteri menambah lagi bahawa kerajaan juga memberi tumpuan meningkatkan produktiviti negara kepada 3.7 peratus di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang bermula tahun ini berbanding 2.3 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.