
Bekas Ahli Parlimen Bangi, berkata kerajaan perlu memperkenal atau meluaskan cukai lain jika GST tidak dikembalikan, yang mana tindakan berkenaan mungkin jauh lebih tidak popular berbanding GST itu sendiri.
Ong, yang kini profesor adjung di Universiti Taylor, mengambil maklum kerajaan sekarang merangkumi rakan gabungan yang menyokong GST semasa ia mula diperkenalkan pada 2015, boleh menjadikan pelaksanaannya semula lebih mudah diurus secara politik.
“Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi sudah menyatakan sokongan secara terbuka memperkenalkan semula GST selepas PRU akan datang, sekali gus membuka ruang kepada penyelesaian munasabah dari segi politik,” katanya kepada FMT.
“Selain itu, banyak realiti ekonomi telah berubah sejak GST diperkenalkan pada 2015, termasuk pertumbuhan gaji, pelaksanaan e-invois, dan pengajaran diperoleh daripada pelaksanaan awal GST, yang mana semua ini akan menjadikan sebarang pengenalan semula (cukai tersebut) menjadi lebih cekap.”
Ong berkata, kerajaan harus membina konsensus politik dalam kalangan semua parti dan gabungan sebelum memperkenalkan semula GST, sebagaimana cadangan kemukakannya sebelum ini.
Beliau berkata, perkara itu boleh digabungkan dengan langkah meningkatkan penerimaan awam terhadap cukai tersebut, seperti peruntukan sama rata kawasan Parlimen, jawatankuasa pemantauan dwiparti yang menyelia pemprosesan tuntutan GST, serta taklimat Parlimen berkala mengenai kemajuan pelaksanaan.
Pada 12 Feb, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan hanya akan mempertimbang untuk melaksanakan semula GST apabila gaji penengah Malaysia melebihi RM4,000. Gaji penengah bulanan negara pada masa ini berada pada sekitar RM2,800.
Liew berkata, walaupun GST lebih cekap dan mesra perniagaan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada, cukai berasaskan penggunaan itu meletakkan beban lebih berat kepada golongan berpendapatan rendah.
Ong pula berkata, Malaysia kini lebih bersedia untuk GST memandangkan kadar kemiskinan di Semenanjung sudah menurun ketara, walaupun Sabah kekal sebagai pengecualian dengan 0.7% penduduknya diklasifikasikan sebagai miskin tegar.
Beliau berkata, dasar ekonomi yang baik menetapkan bahawa komuniti B40 yang akan terkesan lebih teruk oleh GST, boleh diberi bantuan melalui pemindahan tunai secara langsung dan bentuk bantuan lain untuk mengurangkan impak pelaksanaan.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata pengenalan semula GST memerlukan penelitian sebaiknya. Beliau memberi amaran melaksanakannya dengan segera boleh memberi kesan negatif terhadap sokongan politik kepada kerajaan.
Mazlan mengambil maklum walaupun GST mampu mengukuhkan hasil kerajaan berbanding SST, ia tetap merupakan satu sistem cukai regresif.
“Mungkin ia boleh diperkenalkan semula pada penggal akan datang jika kerajaan perpaduan menang PRU16. Pelaksanaannya harus dimulakan dengan kadar cukai yang sangat rendah,” katanya.
“GST berisiko membebankan golongan berpendapatan rendah memandangkan ia mengenakan kadar sama kepada semua orang tanpa mengira tahap pendapatan, yang mana ia mungkin tidak memberikan impak politik yang baik kepada kerajaan perpaduan,” katanya.
GST merupakan cukai penggunaan berperingkat telah diperkenalkan pada April 2015 dengan kadar 6% sebelum disifarkan pada Jun 2018.
Ia telah digantikan dengan SST pada September 2018 selaras dengan manifesto pentadbiran Pakatan Harapan ketika itu.