GST beri impak positif pada negara- KP Kastam

GST beri impak positif pada negara- KP Kastam

Perlaksanaan GST juga memberi kesan positif terhadap hasil dan ekonomi negara selain impak terhadap fungsi jabatan.

kastam-1

PETALING JAYA:
Sejumlah RM27.31 bilion cukai tidak langsung berjaya dikumpul oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sejak 1 April tahun lepas sehingga 8 Mei lalu.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata kutipan GST menambahkan lagi pendapatan sebanyak RM12.81 bilion berbanding kutipan dibuat mengikut sistem lama, Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST.

“Perlaksanaan GST juga memberi kesan positif terhadap hasil dan ekonomi negara selain impak terhadap fungsi jabatan,” kata Khazali ketika sidang media khas sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam ke-79, lapor Bernama.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Matrang Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Abdul Rahman Othman, Timbalan Ketua Pengarah (GST) Datuk Subromaniam Tholasy dan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Datuk Zulkifli Yahya.

Walau bagaimanapun, Khazali berkata masih terlalu awal untuk pihaknya menilai sistem itu kerana baru setahun dilaksanakan biarpun menampakkan kesan positif.

“Sistem GST yang diguna pakai berjaya menstabilkan aliran ekonomi negara, belum ada tanda negatif malah pemilik perniagaan dan syarikat juga semakin memberikan kerjasama baik dalam melaksanakan GST.

Ini bermakna tahap kesedaran penggiat perniagaan termasuk orang ramai bertambah baik bermakna mereka memahami dan boleh menerima sistem tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain Khazali berkata jabatan itu menubuhkan satu skuad khas bagi menangani kegiatan tonto dan akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Katanya penubuhan skuad itu juga bertujuan menambahbaik mutu perkhidmatan dan keberkesanan penguatkuasaan JKDM khususnya dalam melaksanakan operasi-operasi tertentu.

Skuad khas terdiri daripada 30 anggota terpilih itu akan dilatih secara intensif oleh pasukan polis bermula Julai ini, kata Khazali yang menambah tumpuan utama mereka ialah Lembah Kelang dan Putrajaya.

Beliau berkata JKDM merancang mengembangkan skuad berkenaan ke negeri-negeri secara berperingkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.