Difahamkan, bau busuk daripada limpahan air dan sisa kumbahan yang menghantui penduduk setempat itu bertambah serius sejak kebelakangan ini.
Lebih membimbangkan apabila hujan lebat air limpahan bersama najis akan memasuki perkarangan rumah penduduk.
Seorang penduduk, Dr Ko Chung Beng, 30, berkata sisa kumbahan juga melimpah daripada lubang tandas rumahnya sehingga membanjiri lantai bilik air.
Katanya, keadaan bertambah buruk ketika hujan lebat kerana beliau sekeluarga tidak boleh tidur lena disebabkan terpaksa menghidu bau busuk selain khuatir air limpahan dan najis memasuki ruang tamu dan dapur.
“Saya telah tinggal di sini selama tiga tahun dan sejak kebelakangan ini apa yang lagi teruk adalah saya tidak dapat menggunakan tandas saya sepenuhnya. Ini kerana jika saya guna, air kumbahan akan keluar daripada lubang tandas.
“Lebih teruk air kumbahan itu telah melimpah sehingga ke dapur saya dan keadaan rumah saya berbau sangat busuk dan ini tidak baik untuk kesihatan penduduk.
“Keadaan ini sangat memalukan, lebih-lebih lagi apabila mengadakan rumah terbuka kerana rakan-rakan yang datang ke rumah tidak selesa dengan bau busuk dalam rumah akibat limpahan air kumbahan itu,” katanya kepada FMT selepas sesi perbincangan penduduk setempat berhubung projek menaik taraf sistem kumbahan pada malam Selasa.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Caroline Chin, 28, turut kecewa dengan keadaan rumahnya yang semakin teruk akibat limpahan air kumbahan dan sikap sambil lewa pemaju yang dilihat tidak mengendahkan masalah dihadapi penduduk terpaksa berdepan keadaan menjijikkan setiap hari.
“Akibat limpahan air kumbahan ini, saya tidak lagi dapat menjalani kehidupan seperti orang lain. Ini kerana saya tidak dapat gunakan air di dalam rumah terutama di dapur dan saya juga tidak dapat membasuh pakaian saya akibat air kumbahan yang melimpah di kawasan dapur. Ini sangat teruk,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk Bandar Ambang Botanik, Caleb Khoo berharap pertemuan antara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pemaju dan penduduk setempat yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini akan membuahkan hasil.
Menurutnya, SPAN sebelum ini telah melantik penasihat untuk menjalankan kajian mengenai masalah dan mencari penyelesaian bagi menangani masalah itu.
Ekoran itu, penasihat terbabit tampil dengan dua cadangan, iaitu membaiki sistem vakum sedia ada dan kedua menggantikan sistem vakum itu kepada sistem septik konvensional.
“Daripada dua pilihan itu, konsultan mengesyorkan pilihan pertama iaitu memperbaiki sistem vakum sedia ada, disebabkan kos lebih murah dan cara itu lebih cepat,” katanya yang berharap cadangan itu dapat dilaksanakan segera.
