Lubang mandi jenazah dalam rumah cetus perdebatan netizen

Lubang mandi jenazah dalam rumah cetus perdebatan netizen

Netizen beri pelbagai reaksi ketika kali pertama melihat gambar lubang mandi jenazah dibina di dalam rumah di Kelantan.

mandi-jenazah

PETALING JAYA:
Gambar tempat mandi jenazah yang siap dibina dalam bilik utama sebuah rumah di Kelantan menjadi viral baru-baru ini dan mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan pengguna media sosial.

Ia mungkin pemandangan biasa bagi penduduk Kelantan, tetapi gambar yang dimuat naik di Facebook Siakap Keli itu ia membawa perdebatan dan pengetahuan baru kepada rakyat negeri lain.

“Idea yang bagus. Satu kemudahan yang jarang nampak, kita yang masih sihat akan selalu ingat dengan kematian bila lalui tempat yang ada kemudahan macam ini, suka atau tidak kita kena laluinya,” tulis Anwar Noodin Anwar Anwar.

“Tidak pernah terlintas dek akal, bilik ibadah je plan nak buat kalau ada rezeki nanti. Terima kasih admin atas perkongsian,” tulis Nur Aisha.

“Respect menyedarkan kita kepada kematian yang bila-bila akan menjemput hambanya,” tulis Zain Rahman.

“Itu adalah benar, tempat mandi jenazah, meliputi sekali sakit tua, bersalin, sakit-sakit yang tidak boleh bergerak, di situlah tempatnya akan digunakan. Kebanyakan rumah di Kelantan la ada, tapi tidak semua,” tulis Yie Bucah Cacing Kerawit.

“Cadangan yang baik, aku nak buat kat rumah bujang, baru kawan-kawan takut nak buat maksiat,” tulis Puchong Krubong.

“Patut la dulu tinggal di Kelantan ada lubang macam ini dalam bilik. Lubang tu tutup dengan papan, sekarang baru la terjawab soalan pasal lubang itu,” tulis Serty Lu.

“Boleh dipertimbang untuk diadakan, kalau rumah ada ruang solat umum, boleh letak di situ, mungkin lekuk itu boleh ditutup semasa tidak digunakan. Improvise,” tulis Adzrin Mohaddun.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kelantan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata pembinaan tempat mandi jenazah dalam rumah di negeri itu lebih kepada bertujuan mengekalkan tradisi orang terdahulu.

“Orang Kelantan bina tempat macam itu kerana pada zaman dulu tidak ada tempat memandikan jenazah seperti sekarang.

“Urusan mandi jenazah zaman dulu ialah dengan cara meriba dan sesuailah tempat seperti itu dibina bagi memudahkan saliran air kotor keluar.

“Kebanyakan projek perumahan baru di Kelantan sekarang tidak bina tempat seperti itu. Tidak ada kewajipan untuk pemaju membinanya di bilik utama. Tetapi ia inisiatif pemilih rumah untuk membinanya bagi mengekalkan tradisi dan sebagai kegunaan pada hari tua nanti,” katanya kepada FMT.

Rosdi berkata kebanyakan rumah di Kelantan pada masa ini tidak ada lagi tempat mandi jenazah seperti itu dan digantikan dengan membina bilik mandi di setiap bilik sebagai kemudahan penghuni.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.