Wan Azizah seorang ‘amatur’, kata Nazri

Wan Azizah seorang ‘amatur’, kata Nazri

Bolehkah PKR boleh bagi jaminan Azmin Ali tidak akan menggunakan sumber kerajaan Selangor menghadapi BN dalam pilihan raya kecil Sungai Besar.

Nazri

KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seorang amatur yang belum pandai cara seorang ahli politik, kata ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Wan Azizah bahawa kekalahan pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak sebahagian besarnya kerana BN mempunyai jentera dan sumber yang besar, termasuk jentera kerajaan.

“Ini orang kata kuali mengata belanga hitam. Bolehkah Azmin (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bagi jaminan dia tidak akan turun dan menggunakan jentera-jentera kerajaan Selangor untuk membantu calon mereka di Sungai Besar?

“Saya tidak percaya,” katanya dan menambah Wan Azizah terlupa PKR memerintah Selangor dan walaupun beliau mahu menjadi Menteri Besar, jawatan itu terlepas kepada Azmin.

“Wan Azizah sebenarnya seorang amatur, belum profesional jadi orang politik. Azmin ahli PKR, bolehkah Azmin bagi jaminan dia tidak akan guna kemudahan yang ada pada beliau sebagai MB,” katanya.

Nazri berkata demikian kepada pemberita sesuai melawat Pasar Seni hari ini. Nazri tidak menolak kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ketika diminta mengulas spekulasi pembangkang akan berpecah sekiranya berlaku pertembungan antara sekutu dalam PRK kali ini, Nazri berkata:

“Kita bertanding untuk menang, kita tak bimbang nasib pembangkang. Samada pertandingan tiga penjuru atau satu lawan satu, UMNO akan tetap bertanding dan kita akan bekerja untuk memastikan kemenangan calon kita.

“Apa yang berlaku dalam pembangkang tidak penting bagi kami.”

Dalam PRN Sarawak baru-baru ini, pembangkang kehilangan lima kerusi yang diperolehi mereka dalam pilihan raya negeri 2011.

Meskipun ramai berpendapat pembangkang tumpas angkara pertelagahan antara dua komponen terkuat Pakatan Harapan, Wan Azizah tegas mengatakan kekuatan jentera BN menyebabkan lapangan perlawanan tidak sama rata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.