Muhyiddin, Mukhriz wajar dipecat – Ku Nan

Muhyiddin, Mukhriz wajar dipecat – Ku Nan

Isu Muhyiddin dan Mukhriz wajar dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO untuk dibincangkan mengenai kedudukan mereka.

tengku-adnan-mansor-mukhriz

KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor secara peribadi berpandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir wajar dipecat daripada parti Melayu itu.

Bagaimanapun, beliau berkata isu Muhyiddin dan Mukhriz wajar dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO terlebih dahulu untuk dibincangkan mengenai kedudukan mereka.

“Pada saya, saya sudah singkirkan mereka sejak dahulu lagi.

“Kita sudah lakukan laporan mengenai Mukhriz dan Muhyiddin dan kita akan bentangkan di Majlis Tertinggi untuk putuskan kerana Jawatankuasa Disiplin telah menghantar semula keputusan untuk Majlis Tertinggi tentukan.

“Kertas siasatan telah diberikan kepada kita (Majlis Tertinggi) dan biarlah mereka yang tentukan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan minggu ini.

Tengku Adnan turut memaklumkan mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi UMNO dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, kedudukan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal di dalam UMNO masih boleh diselamatkan, memandangkan beliau tidak terlalu menyerlah bersama pembangkang.

“Dia tidak terlalu menyerlah sepentas bersama pembangkang. Terdapat beberapa masalah tetapi masih ada kelonggaran yang kita masih boleh pertimbangkan.

“Tetapi dua orang ini (Mukhriz dan Muhyiddin) sudah bersama pembangkang, jadi itu kita tidak boleh terima,” ujarnya lagi.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015, disusuli kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO turut digantung mulai 26 Februari lalu sehingga pemilihan parti akan datang.

Mukhriz pula melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah pada 3 Februari lalu dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.