Anwar, keluarga fail semakan kehakiman tidak dibenarkan sentuhan fizikal

Anwar, keluarga fail semakan kehakiman tidak dibenarkan sentuhan fizikal

Mohon perintah batal keputusan pengarah penjara yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan ahli keluarga.

anwar

KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, anak-anak dan empat cucunya hari ini memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan penjara yang tidak membenarkan ahli keluarga Anwar melakukan sentuhan fizikal ketika melawatnya di penjara.

Anwar, 68, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25, memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Daim & Gamany di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden.

Turut memfailkan permohonan itu ialah anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur sembilan dan tujuh tahun serta anak Nurul Nuha iaitu Sulaimaan Mohamad Khairul, dan Yahya, masing-masing berumur empat dan tiga tahun.

Mereka yang memfailkan permohonan melalui peguam N Surendran dan Latheefa Koya, memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac lepas yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan semua ahli keluarga dibatalkan.

Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap tiga minggu sekali, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dipisahkan daripada mereka melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon.

Anwar melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac lepas, memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara tetapi mendakwa pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan berkenaan melalui surat bertarikh 14 Mac.

Semua pemohon mendakwa penafian sentuhan fizikal itu menyebabkan penderitaan terhadap mereka, tidak munasabah, tidak sah dan melanggar Akta Penjara 1995 dan Peraturan-peraturan Penjara 2000 serta melanggar Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.