
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan mahkamah bahawa kerajaan memfailkan permohonan itu bulan lalu, bersama dokumen sokongan.
Kandungan akaun itu tidak didedahkan mahkamah atas permintaan peguam Ilham Tower, Nizamuddin Hamid.
Nizamuddin berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan menangguhkan kes lucut hak itu kerana ada prosiding lain masih berjalan.
Beliau merujuk semakan kehakiman difailkan syarikat itu untuk membatalkan penyitaan akaun itu dan permohonan rujukan berkaitan Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membabitkan perisytiharan harta.
“Asas permohonan (lucut hak) ini berpunca daripada (tindakan yang didakwa bawah) Seksyen 36,” kata Nizamuddin.
Hakim Azura Alwi mengarahkan peguam itu memfailkan permohonan penangguhan sebelum 28 Jan depan.
Bagi pihak kerajaan, beliau membenarkan perintah untuk mengeluarkan warta bagi memanggil mana-mana pihak ketiga yang ingin mencabar pelucuthakan itu sebelum 12 Feb depan.
Hakim itu turut menegur kedua-dua pihak tidak membuat kenyataan umum berhubung kes yang masih menunggu keputusan mahkamah.
“Sebagai pegawai mahkamah, anda sepatutnya tahu apabila sesuatu kes difailkan di mahkamah, tiada sesiapa boleh membuat kenyataan sub judice.”
Mahkamah dimaklumkan bahawa peguam yang mewakili pemilik Menara Ilham, Naimah Khalid, balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, membuat kenyataan secara terbuka mengenai satu lagi kes pelucuthakan yang masih belum diputuskan.
Nizamuddin berhujah bahawa SPRM sebelum ini juga telah membuat kenyataan mengenai kes Daim dan Naimah.
Minggu lalu, kerajaan memulakan usaha mendapatkan perintah pelucuthakan terhadap beberapa hartanah dikaitkan dengan Daim dan keluarganya.