Namun tindakannya menentang UMNO kini menyebabkan ramai berpendapat beliau menikam parti yang turut memberi manfaat besar kepada ahli keluarganya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Beliau dan keluarganya dapat banyak manfaat daripada kedudukan sebagai PM dan ini kerana kekuatan UMNO dan BN.
“Jadi bila dia suruh orang menolak parti yang banyak berjasa, maka terdapat reaksi yang negatif terhadap pendirian beliau yang tidak mengambil peduli langsung apa yang diterima sebagai manfaat kerana tanpa BN dan UMNO beliau tidak akan jadi perdana menteri, takkan jadi menteri,” kata Najib.
Beliau berkata demikian pada sidang media malam tadi yang mengakhiri lawatan kerja beliau ke United Kingdom. Beliau dijangka berlepas pada pagi Rabu ke Sochi, Rusia untuk Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN selama dua hari.
Najib diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang menggesa parti pembangkang bersatu menentang BN pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang akan berlangsung 18 Jun depan.
Perdana menteri berkata ramai berpendapat tindakan Dr Mahathir itu sebagai tidak wajar kerana menolak dan menikam parti yang banyak berjasa kepada pembangunan negara.
Ditanya sama ada beliau kecewa tentang hal tersebut, Najib berkata beliau sudah menjangkakannya (tindakan Dr Mahathir itu).
PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya, allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan allahyarham Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.
— BERNAMA
