Tak guna debat jika tiada siaran langsung – Pua

Tak guna debat jika tiada siaran langsung – Pua

Tony tawar syarikat televisyen lain menyiarkan debat itu.

tony-pua_1mdb_600_new
KUALA LUMPUR: Tidak ada gunanya mengadakan perdebatan mengenai syarikat pelaburan negara 1MDB jika ia tidak boleh disiarkan secara langsung di televisyen, kata ahli Parlimen DAP Tony Pua.

Tony berkata tujuan cadangan perdebatan antara dirinya dengan Presiden 1MDB Arul Kanda diadakan ialah untuk rakyat dan tanpa siaran langsung, sudah pasti matlamatnya tidak tercapai.

“Debat ini untuk siapa? Debat dengan siapa? Buat untuk syok sendiri? Jika tidak ada sesiapa mahu siarkan ia secara langsung, maka debat ini tidak ada gunanya. Ia perlu disiarkan secara langsung,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau kemudian membuka kepada mana-mana syarikat penyiaran yang mungkin berminat menyediakan platform untuk debat itu terutama sekali selepas keengganan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menyiarkannya di RTM.

“Mari, siapa hendak tawarkan (debat secara langsung), tetapi kita perlu bincang dengan 1MDB terlebih dulu. TV3, Astro atau mungkin Bloomberg,” katanya.

Di Parlimen semalam, Tony mengumumkan Arul menerima tawarannya untuk berdebat, dengan menamakan ketua komunikasi 1MDB Robert Ho akan mengetuai perbincangan mengenai format dan struktur perdebatan itu.

Bagaimanapun, Salleh berkata RTM tidak lagi berminat menganjurkan program itu, dengan alasan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sudah membentangkan laporannya mengenai 1MDB kepada Dewan Rakyat.

Tony yang kecewa dengan kenyataan Salleh itu berkata alasan yang diberikan tidak masuk akal kerana perdebatan itu penting untuk membolehkan rakyat memutuskan siapa bercakap benar dan siapa pula berselindung.

“Adakah RTM kini tidak berminat kerana 1MDB terbukti menipu rakyat Malaysia sejak beberapa tahun lalu?

“Alasan menteri tidak masuk akal. Sekarang laporan PAC mengenai 1MDB sudah dibentangkan di Parlimen, ia jadi lebih penting untuk hasil dapatannya dibahaskan.

“Ini amat penting terutama apabila semua menteri mendakwa laporan PAC membebaskan salah laku perdana menteri dan 1MDB,” katanya yang juga ahli PAC.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.