Pengerusi Biro Integriti, Anti Rasuah dan Salah Guna Kuasa, Azrul Akmal Saharudin berkata tindakan yang tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada pemaju yang tidak bertanggungjawab.
“Hukuman berat seperti tembak sampai mati terhadap pesalah rasuah di China perlu dilakukan. Hukuman seperti penjara dua atau tiga tahun dan lepas itu dilepaskan tidak boleh diguna pakai lagi.
“Hukuman penjara seumur hidup kepada pesalah itu juga perlu dilakukan bagi memberi kesedaran dan menjadi tauladan kepada yang lain,” katanya kepada FMT.
Semalam, Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam melaporkan bahawa pemaju projek perumahan swasta di lapan negeri didapati tidak mematuhi peruntukan kuota Bumiputera.
Negeri terbabit ialah Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu dan Sabah.
Antara kelemahan utama yang dikenal pasti adalah iklan jualan kuota Bumiputera di akhbar tidak lengkap, tiada mekanisme pemantauan jualan kuota Bumiputera serta hak milik kuota Bumiputera tidak dimasukkan sekatan kepentingan.
Selain itu, kuota lot Bumiputera juga dijual kepada pembeli bukan Bumiputera tanpa kelulusan dan penjualan melebihi harga ditetapkan.
PERKASA mewajarkan hukuman yang keras dan berat kerana tindakan pemaju yang mengingkari agenda nasional dikira sebagai pengkhianatan kepada negara.
“Ini satu tindakan tidak ada integriti. Ini kerana agenda nasional adalah memperkasa ekonomi dan pemilikan aset Bumiputera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih drastik bagi melindungi kuota Bumiputera dalam isu pembelian rumah.
“Kita tidak mahu isu ini berulang lagi saban tahun. Pihak yang bertanggungjawab perlu selesaikan dengan lebih bijaksana,” katanya.
