Elak pembangunan di kawasan berisiko banjir

Elak pembangunan di kawasan berisiko banjir

Wakil rakyat mencadangkan audit dilakukan oleh JPS bagi mengesan kelemahan sistem mitigasi banjir di Klang.

banjir-klang

KUALA LUMPUR:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa menangguhkan projek pembangunan baharu di semua kawasan berisiko banjir kilat sehingga masalah itu diselesaikan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri berkata pembangunan projek baharu di kawasan berkenaan hanya akan memburukkan keadaan apabila hujan lebat.

“Mengikut pemantauan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan Lembah Klang berpunca daripada pembangunan yang tidak mengambil kira aspek teknikal yang ditetapkan.

“Antaranya ialah sistem perparitan yang tidak mematuhi garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA). Sehubungan itu, kita sarankan agar projek pembangunan baharu di kawasan yang berisiko ini ditangguhkan sehingga masalah banjir selesai terlebih dahulu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul khas memohon kerajaan Persekutuan menangani dan mempercepatkan pelaksanaan pelan mitigasi banjir di kawasan Parlimen Klang, hari ini.

Usul yang dikemukakan Anggota Parlimen Klang Charles Anthony Santiago yang merupakan usul khas pertama diluluskan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 untuk dibahaskan di Kamar Khas, Dewan Rakyat di sini.

Usul itu kemudian menarik perhatian beberapa anggota Parlimen yang lain antaranya G.Manivannan (PKR-Kapar) dan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang antaranya mencadangkan audit dilakukan oleh JPS bagi mengesan kelemahan sistem mitigasi banjir di Klang dan peruntukan lebih besar untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hamim berkata JPS bersedia membantu kerajaan negeri Selangor melakukan audit bagi mengenal pasti kelemahan yang menjadi punca banjir kilat di kawasan Klang.

“Kementerian setuju bahawa syor audit yang dicadang dilaksanakan, namun pada masa yang sama adalah lebih baik sekiranya dilaksanakan oleh unit audit dalaman kerajaan negeri Selangor.

“JPS bersedia menyertai pasukan audit sekiranya dijemput oleh kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata setelah audit dilakukan baharulah kerajaan dapat menganggarkan peruntukan sebenar yang diperlukan bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.

“Tidak kira di manapun keadaan ini (banjir) berlaku, di kawasan pembangkang atau kerajaan, atau di negeri mana, kementerian akan melayan perkara ini secara profesional.

“Kita tersentuh dengan apa yang berlaku iaitu banjir kilat di kawasan Klang ini dan akan memberi peruntukan diperlukan dengan sewajarnya,” kata Hamim.

Pada 15 Mei lalu, beberapa portal melaporkan sebahagian wad geriatrik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dinaiki air akibat hujan lebat yang turut menyebabkan lebih 20 taman perumahan di kawasan Klang dinaiki air termasuk bank dan premis-premis perniagaan.

Hamim berkata banjir kilat yang berlaku di Klang pada hari berkenaan disebabkan hujan yang banyak iaitu 61 mm direkodkan di stesen Jalan Kebun dan 51 mm direkodkan di stesen Telok Gadong iaitu bacaan yang tinggi dalam tempoh singkat.

Faktor lain, katanya, disebabkan oleh aliran air permukaan dalam kuantiti yang banyak dan gagal ditampung oleh sistem perparitan sedia ada di samping saliran dalaman tersumbat yang tidak mampu mengalirkan air dengan cepat ke sungai.

-Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.