Melalui laman Facebooknya, beliau berkata tidak akan berdiam diri dengan begitu sahaja berhubung dakwaan tersebut.
“Saya dapat tahu nama saya di gunakan untuk kerja memfitnah, saya nak jumpa budak yang guna nama saya ini (dan minta) dia bersumpah kenal saya atau tidak.
“Saya akan buat PC (sidang media) jawab balik. Saya akan diam? No (tidak), biar saya pula lawan,” katanya menerusi akaun Facebook dengan nama ‘Ratu Naga’.
Ditemani Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, seorang individu bernama Azharuddin Othman @ Abdullah hari ini tampil dengan akuan berkanun mendakwa didatangi ‘Ratu Naga’ yang ingin membeli pangkalan data 900,000 nama pada harga RM5,000.
“Pada 27 April 2016, saya dihubungi oleh Ratu Naga untuk membeli pangkalan data warganegara Malaysia dengan tujuan mengumpul 1.2 juta tandatangan untuk Deklarasi Rakyat, yang disokong oleh Tun Mahathir (Mohamad),” katanya dan mendakwa hanya menerima RM1,000 dan bukannya seperti yang dijanjikan.
Beliau mendakwa memiliki data tersebut memandangkan kerjanya sebagai pengaturcara komputer separuh masa dengan parti-parti politik bagi tujuan pilihan raya.
Azharuddin juga mendakwa 300,000 daripada 1.2 juta penandatangan bukan daripada senarainya.
