Mayat dibungkus pukat, kaki diikat batu bata

Mayat dibungkus pukat, kaki diikat batu bata

Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibuang di kawasan lain sebelum dibawa ombak dan hanyut sehingga Kuala Muda.

mayat_dead_600__1

KEPALA BATAS:
Seorang lelaki dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemui dalam beg plastik hitam yang dibungkus dengan pukat berhampiran bot nelayan di jeti Kuala Muda, Penaga malam tadi.

Mayat lelaki itu ditemui pada jam 9.20 malam dengan tangan terikat oleh seorang nelayan yang sedang membersihkan botnya untuk keluar ke laut.

Kaki lelaki itu turut diikat dengan batu bata dipercayai untuk menenggelamkan mayatnya, namun kepala lelaki itu kelihatan di permukaan air.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri bersama mayat itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibuang di kawasan lain sebelum dibawa ombak dan hanyut sehingga Kuala Muda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

“Mayat lelaki itu dalam keadaan lengkap dan polis menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui bila dan punca kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati penduduk di kawasan itu tidak mengenali lelaki berkenaan dan dia dipercayai orang luar.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga atau rakan agar menghubungi balai polis berhampiran.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.