Sehubungan itu, Tiong Lai berpendapat ia mungkin adalah hasil perbincangan antara UMNO serta PAS dan tindakan membenarkan parti Islam itu membentangkan RUU telah melanggar semangat BN.
Beliau memberitahu China Press, MCA akan menyuarakan bantahan parti itu kepada BN melalui saluran dalaman.
RUU itu pada awalnya disenaraikan sebagai agenda terakhir yang akan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat semalam sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan ia dipercepatkan supaya sempat dibentangkan dalam sidang semalam.
Usul itu kemudiannya disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Sekalipun telah menerima lampu hijau daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memohon pembentangan RUU itu ditangguhkan sehingga sidang Parlimen berikutnya pada Oktober nanti.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Piai, Datuk Wee Jeck Seng berkata, jika Hadi sekali lagi membentangkan RUU itu pada sidang Parlimen akan datang, maka ia jelas melanggar semangat BN dan MCA serta BN akan berpecah belah.
Jelasnya, wakil rakyat MCA langsung tidak tahu mengenai pembentangan RUU di Dewan Rakyat semalam kerana kebiasaannya BN akan mengadakan perbincangan dalaman terlebih dahulu.
Katanya, jika ada parti komponen yang membantah, ia tidak patut dibentangkan tetapi kali ini ia telah menyebabkan parti komponen lain huru-hara.
“Jika tidak menghormati semangat parti komponen BN, kami (MCA) akan mempertahankan hak dan kepentingan rakyat serta prinsip perlembagaan persekutuan; semangat BN mementingkan rundingan tetapi hari ini (semalam) tiba-tiba ia dibentangkan, kami tentu akan bantah habis-habisan,” katanya.
Beliau memberitahu China Press, jika hudud berjaya dilaksanakan di Kelantan ia mungkin diperluaskan ke negeri lain dan tentu akan membabitkan golongan bukan Islam.
“Tujuh ahli Parlimen MCA pasti akan menentang usul itu daripada diluluskan,” katanya.
Jeck Seng turut mencabar DAP untuk tampil memberi penjelasan, kerana pernah menipu pengundi Cina untuk menyokong parti pembangkang dan PAS.
“Mana perginya DAP? Dulu nak tukar kerajaan mereka minta pengundi Cina sokong, sekarang mereka menolak tanggungjawab kepada parti komponen BN,” katanya.
