Kanak-kanak Malaysia jalani latihan militan di Syria

Datuk-Seri-Mohamad-Fuzi-Harun.

PETALING JAYA: Semakin banyak kisah rakyat Malaysia terpengaruh dengan militan Daesh kini timbul.

Terkini, ibu bapa yang mula terpengaruh dengan propaganda Daesh, secara sukarela membawa anak mereka ke Syria untuk dilatih sebagai militan, menurut China Press.

Akhbar itu memetik Pengarah Cawangan Khas Datuk Mohamad Fuzi Harun sebagai berkata tujuh kanak-kanak termasuk lima perempuan, dilaporkan dilatih di kem askar IS di Syria dalam latihan ketenteraan.

Kebimbangannya kini ialah apa akan berlaku apabila kanak-kanak ini menyusup kembali ke Malaysia selepas selesai latihan mereka.

Mereka mungkin boleh jadi “mesin membunuh” hanya menanti arahan untuk melaksanakan misi selanjutnya.

Fuzi berkata kanak-kanak dari negara lain seperti Indonesia dan Filipina juga menghadiri latihan ketenteraan seumpama itu.

Beliau berkata kanak-kanak ini berada di Syria bersama ibu bapa masing-masing dan tidak ada tanda menunjukkan IS menculik kanak-kanak terbabit untuk menjalani latihan berkenaan, seperti yang disyaki pada awalnya.

Baru-baru ini, IS menyiarkan klip video berdurasi 15 minit menunjukkan kanak-kanak dan belia terlibat dalam tindakan ketenteraan.

Polis kerap menasihatkan ibu bapa untuk memantau aktiviti anak, terutama dalam talian, susulan propaganda Daesh berjaya mempengaruhi ramai orang termasuk di negara Barat.